
BINTULU: Tema ‘Segulai Sejalai’ menjadi tunjang utama sambutan Pra-Gawai Dayak 2025 Peringkat Bahagian Bintulu melambangkan kekuatan perpaduan yang merupakan asas kelestarian budaya masyarakat Dayak.
Dalam maksud ‘Together in Unity’, tema itu membawa makna mendalam sebagai seruan agar masyarakat terus melangkah bersama dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa depan.
Pengerusi Sambutan, Tuai Rumah Thomas Nyaring Mawan berkata, tema tersebut bukan sekadar slogan, sebaliknya mencerminkan cara hidup masyarakat Dayak yang berpaksikan semangat kebersamaan.
“Untuk sambutan Gawai tahun ini, kami dalam jawatankuasa pengelola tetap mengangkat tema Segulai Sejalai, satu frasa ringkas tetapi sangat mendalam maknanya.
“Ia adalah panggilan jiwa untuk kita melangkah bersama iaitu dalam suka dan duka, dalam harapan dan perjuangan.
“Segulai Sejalai, atau Together in Unity, bukan sekadar slogan. Ia adalah cara hidup kita.
“Ia adalah sungai yang membawa impian kita, jambatan yang menghubungkan hati kita,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Pra-Gawai Dayak Peringkat Bahagian Bintulu 2025 yang berlangsung di Dinner World Bintulu, malam tadi.
Sambutan kali ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) serta Persatuan Pembangunan Dayak (BANGUN) yang berganding bahu menjayakan acara berkonsep gotong-royong.
Antara pengisian utama adalah pertandingan Kumang Gawai, persembahan kebudayaan, Pasar Gawai dan Program Ngerandang Jalai yang bertujuan memupuk semangat kekitaan dan cinta terhadap warisan.
“Program-program ini bukan sekadar persembahan semata-mata.
“Ia adalah pernyataan budaya yang mengingatkan kita tentang keindahan warisan serta tanggungjawab untuk mewariskannya kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Kehadiran lebih 1,400 pengunjung membuktikan bahawa semangat Segulai Sejalai terus hidup dan kekal relevan dalam jiwa masyarakat Dayak masa kini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai serta isteri, Datin Sri Melia Gelen dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju, Dato Majang Renggi serta isteri Datin Evelyn Ensanggai.
Oleh Carolyne Utih