
LIMBANG: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah melahirkan kekecewaan terhadap masalah penyambungan bekalan air dan elektrik yang belum selesai di Anjung Usahawan Medamit walaupun bangunannya sudah lama disiapkan.
Beliau mahu Pejabat Residen dan Daerah berhubung dengan agensi berkaitan bagi memastikan pusat perniagaan itu dapat disambung dengan bekalan elektrik dan air serta beroperasi segera.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata Anjung Usahawan penting dalam memperkasa sosioekonomi penduduk luar bandar dengan menyediakan prasarana untuk berniaga dan memasarkan industri kecil sederhana penduduk pedalaman.
“Saya sebenarnya agak terkilan mengenai masalah penyambungan elektrik dan air belum dapat dilaksanakan di Anjung Usahawan Medamit meskipun ia sudah lama siap.
“Saya minta Pejabat Residen dan Daerah untuk menyelesaikan masalah ini segera kepada agensi yang berkaitan,” katanya ketika berucap pada majlis Kebudayaan Mantar Gawai Dayak Sempena Pesta Medamit 2025 malam tadi.
Beliau berkata, isu ketiadaan elektrik dan bekalan air sudah kerap diutarakan kepada pihak berkaitan sebelum ini, namun belum ada tindakan diambil.
Beliau mahu perkara ini segera diselesaikan sebelum hujung tahun ini bagi membolehkan peniaga kecil luar bandar terlibat dalam aktiviti perniagaan dan memperkasa ekonomi mereka.
Projek Anjung Usahawan Medamit dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) dengan kos kira-kira RM5 juta.
Anjung Usahawan Medamit menyediakan ruang niaga yang selesa dan dilengkapi kemudahan untuk disewakan kepada pengusaha tempatan pada kadar yang murah selain kemudahan penduduk tempatan memasarkan produk mereka.
Turut sama Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai, Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Pengerusi Sarakup Dayak Iban Sarawak (SADIA) Limbang Jerry Seraie dan Timbalannya Jangan Bakar.
Oleh Adeng Edrus