
menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan bola jaring yang terlibat dalam memeriahkan LSK Mukah 2025. -Foto UKAS
MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine meminta agar proses penyerahan Kompleks Sukan Komuniti (KSK) daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sarawak disegerakan.
Menurut Royston, jika proses ini dapat diselesaikan dengan cepat, kemudahan KSK akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti di sekitarnya.
“Kami berharap agar segala isu yang dihadapi oleh kedua-dua pihak, baik dari peringkat persekutuan maupun negeri, dapat diselesaikan tanpa berlengah.
“Adalah lebih baik kemudahan ini rosak setelah digunakan berbanding ianya akan rosak sekiranya tidak digunakan sama sekali,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika temui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) Mukah 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Komuniti, semalam.
Katanya, pelbagai aktiviti sukan boleh dianjurkan menggunakan kemudahan KSK seperti bola jaring, bola keranjang, futsal, sepak takraw, badminton dan sebagainya.
Selain itu, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) boleh menggunakan kemudahan ini untuk penganjuran sukan, tambahnya.
Dalam perlawanan akhir, Pasukan PMU Riftborn telah menjuarai pertandingan dengan menewaskan pasukan D’Gegar untuk tempat kedua.
Manakala tempat ketiga bersama telah dimenangi oleh pasukan MK Shot dan Netvengers.
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Royston yang turut
menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan bola jaring yang terlibat dalam memeriahkan LSK Mukah 2025.
Beliau turut memuji usaha Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah selaku penganjur bagi pertandingan ini dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakannya aktiviti tersebut.
LSK mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di bahagian Mukah pada tahun ini dengan penambahan sukan bola jaring berbanding tahun lepas menyaksikan sebanyak sembilan pasukan bola jaring, 16 penyertaan untuk sepak takraw dan tujuh ping pong berpasukan campuran menyertai LSK Mukah 2025.
Turut hadir Penolong Pegawai Belia dan Sukan Mukah, Mohamad Arbi Rosli dan Pegawai Bahagian Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Mukah, Hafizzul Abdul Halim. -UKAS