

SIBU: Penduduk di sekitar Jalan Pasai Siong Ulu kini boleh menarik nafas lega apabila kerja-kerja menaik taraf jalan di kawasan itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.
Kerosakan jalan berkenaan sebelum ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, yang segera mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu bagi mencari penyelesaian.
Susulan itu, JKR Sibu bertindak pantas melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan serta memastikan kelancaran pergerakan penduduk setempat.
Gira dalam satu kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada Jurutera Bahagian JKR Sibu, Chieng Siong Ming serta semua pihak yang terlibat atas kecekapan dan kesungguhan dalam menangani isu berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya terus berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan selagi kerja-kerja pembaikan masih berjalan demi keselamatan semua pihak.
Oleh Tarani Lanting