Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
KOTA BHARU: Segelintir penjawat awam dikenal pasti masih mempunyai tahap integriti yang rendah, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata integriti itu adalah sesuatu yang memang perlu dipegang oleh setiap penjawat awam.
“Tatakelola integriti adalah satu hubungan yang mesti ada dalam diri setiap penjawat awam. Tanpa integriti, kita akan menuju kepada kehancuran.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyediakan pelbagai pekeliling dan peraturan yang menekankan kepentingan integriti,” katanya selepas Program Ziarah Pesara Negeri Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan lapan individu termasuk seorang penjawat awam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Pasir Mas kerana menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand tanpa dokumen perjalanan sah, dengan hanya mengangkat tangan ketika melalui ICQS berkenaan.
“Hanya segelintir mereka yang masih lagi kurang nilai integritinya tetapi daripada segi kerajaan, kami sentiasa mementingkan integriti itu menjadi pegangan.
“Kerajaan menekankan tatakelola perlu wujud dalam setiap individu penjawat awam, bukan sahaja daripada segi kawalan kemasukan (sempadan negara) yang tidak sepatutnya tetapi juga dalam projek pembangunan, perolehan dan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata nilai integriti adalah satu pegangan penting yang perlu ada dalam setiap penjawat awam.
Pada 7 Nov lepas, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata kejadian terbaharu itu berjaya dibongkar polis apabila lapan individu termasuk dua wanita ditahan selepas memasuki Kelantan tanpa dokumen sah melalui ICQS Rantau Panjang.
Kesemua mereka yang menaiki dua kereta ditahan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia yang bertugas di kompleks itu ketika dalam perjalanan dari Sungai Golok, Thailand untuk memasuki Kelantan pada 5.30 petang.– BERNAMA