SEDIDIK menawarkan pendidikan berkualiti dan seimbang.
Apabila ibu bapa memilih sesebuah institusi pendidikan awal untuk anak-anak mereka, mereka mahukan sebuah institusi yang mampu membentuk anak-anak dalam semua aspek, terutama menyediakan pendidikan berkualiti dan seimbang.
Aspek ini penting kerana Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) inilah yang akan menjadi ‘acuan’ awal bagi menjadikan anak-anak berilmu, berakhlak, yakin diri serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Nilai-nilai inilah yang diberi penekanan oleh Sedidik, sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak, milik Kerajaan Sarawak di bawah kelolaan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).
Semenjak pengambilalihan SeDidik pada 22 Julai 2020, KWKPK telah memperluaskan akses kepada pembangunan awal kanak-kanak dengan menambah tiga TADIKA dan duaTASKA, menjadikan jumlah keseluruhan Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) SeDidik kepada 98 buah pada tahun 2022.
Penambahan ini dilaksana berdasarkan keperluan yang meningkat dan atas permintaan komuniti setempat.
Menurut menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah, dengan pertambahan akses dan permintaan komuniti setempat ini, secara langsung menggambarkan bahawa SeDidik terus mendapat kepercayaan daripada masyarakat.
Justeru kata beliau, pihak SeDidik harus sentiasa mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, kemudahan serta kualiti guru-guru sedia ada.
Selain itu, SeDidik juga melaksanakan dasar inklusiviti dengan penetapan bahawa semua IPAKK SeDidik menerima kemasukan kanak-kanak berkeperluan khas.
“Sebelum ini, SeDidik tidak mengambil kanak-kanak berkeperluan khas kerana tiada pendidik terlatih dan kekurangan prasarana yang sesuai,” kata beliau pada majlis Sambutan Hari Guru, Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak anjuran SeDidik, baru-baru ini.
Setakat 30 April 2022, 17 buah (daripada 98) TADIKA SeDidik mempunyai sejumlah 27 kanak-kanak berkeperluan khas.
Kata Fatimah, sejajar dengan polisi baharu ini, Kementerian bersama SeDidik telah mengenalpasti rakan strategik iaitu Pusat Genius Kurnia, OSEIC Sarawak dan Persatuan Orang Pekak Malaysia dalam merangka kurikulum latihan pendidik dan pengasuh agar mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran bersesuaian untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas ini.
Latihan ini disasarkan kepada semua pendidik dan pengasuh SeDidik yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
Beliau melahirkan harapan agar semua pendidik dapat memanfaatkan peluang ini dalam usaha membantu kanak-kanak berkeperluan khas agar tidak ketinggalan dalam pendidikan bermula dari TADIKA.
Sementara itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM20 juta di bawah RM Ke-12 bagi melaksanakan 28projek baharu dan naik taraf pusat-pusat SeDidik di seluruh negeri.
Dengan perkembangan terbaharu ini, beliau yakin SeDidik akan mempunyai kemudahan yang lebih baik, termasuk melaksanakan inklusiviti bermula dari peringkat awal kanak-kanak.
Oleh HAINI DARANI