SIBU: Seramai 193 orang anak inklusif telah mendaftar di bawah program SeDidik Sarawak pada 2024, menandakan komitmen negeri ini terhadap pendidikan awal.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pendidikan inklusif memainkan peranan penting dalam membina generasi yang saling menghormati dan empati.
“Di SeDidik, kita mengamalkan pendidikan yang menerima semua kanak-kanak tanpa mengira perbezaan fizikal, kognitif atau sosioekonomi mereka.
“Pendidikan inklusif ini bukan sahaja menyediakan mereka untuk alam persekolahan tetapi juga membentuk keupayaan menghargai kepelbagaian dan hidup dengan sifat saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Kapitan Lau Sei Kwong sempena Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak ke-33, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Seramai 85 kanak-kanak dari sembilan Pusat SeDidik Zon Sibu telah menerima sijil tamat pengajian dalam majlis tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu turut menekankan bahawa kepelbagaian budaya, bahasa, dan latar belakang anak-anak di SeDidik merupakan kekuatan yang memupuk sikap keterbukaan.
“Kepelbagaian ini menjadikan anak-anak lebih terbuka kepada pelbagai perspektif, membina kemahiran sosial yang penting untuk kehidupan dan dunia persekolahan. Dengan modal insan yang berkualiti, mereka kelak akan menyumbang kepada masyarakat yang harmoni,” tambahnya.
Menurutnya, SeDidik juga menekankan pembangunan karakter melalui pendidikan yang mengutamakan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, saling hormat dan bertanggungjawab.
Untuk melengkapkan pendidikan karakter, katanya, SeDidik Sarawak turut melaksanakan Young Leader Programme dan Young Saver Programme.
Melalui Young Leader Programme, anak-anak diajar asas kepimpinan dan tanggungjawab. Setiap kanak-kanak diberi peluang menjadi ketua kelas secara bergilir selama seminggu, memberi pengalaman langsung tentang peranan kepimpinan.
Young Saver Programme pula bertujuan mendidik anak-anak tentang pentingnya menabung sejak usia muda. Dengan pendekatan menyeronokkan, mereka belajar asas pengurusan kewangan melalui aktiviti seperti menyimpan wang dalam tabung.
“Melalui program ini, anak-anak diperkenalkan kepada konsep simpanan dan belajar untuk menghargai nilai wang,” katanya.
Oleh TARANI LANTING