AKUN GIMAN
SIBU: Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu bersedia untuk memulakan normal baharu dalam pengendalian premis makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, semalam.
Pengerusinya, Tong Ing Kok menyatakan kesediaan mereka untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam PKPB.
“Kami akan mematuhi SOP Kerajaan dalam menyediakan pemakanan dan minuman.
“Kami akan mengutamakan kebersihan dan memastikan meja disusun sekurang-kurangnya dua meter supaya ada jarak yang selamat antara pelanggan,” jelasnya kepada pemberita semalam.
Katanya, mereka juga akan menetapkan garisan berukuran satu meter antara satu sama lain di hadapan juruwang untuk memastikan pelanggan mengamalkan penjarakan sosial ketika membuat pembayaran.
Dalam perkembangan lain, Tong berpendapat perjalanan antara daerah tidak dilonggarkan pada masa ini kecuali untuk pengangkutan kargo.
“Kemasukkan orang luar ke ke Sibu harus disekat buat sementara ini kerana Sibu kini berada di dalam Zon hijau,” ujarnya.
Sehingga kini, Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu kini mempunyai lebih daripada 300 ahli.
Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengenai perlunya membuka semula kegiatan ekonomi dengan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Meskipun Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Sarawak belum bersedia melaksanakan kelonggaran PKPB seperti diumumkan Pedana Menteri kerana Kerajaan Negeri perlu mengkaji dengan teliti sebelum membenarkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibernarkan beroperasi mulai Isnin (4 Mei) ini.
Uggah turut menyatakan Kerajaan Sarawak menghormati sepenuhnya pengumuman Perdana Menteri.
Pada masa sama, kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengkaji implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi itu dengan meneliti sektor mana yang akan dibuka, bila dan tempoh masa mereka akan dibenarkan untuk beroperasi.