SKUAD Sri Aman FA bertekad untuk ‘melanggar’ Sibu FA sekali gus meraih tiga mata seterusnya dalam aksi Liga SSC-FAS 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Jalan Lada Sibu, petang esok.
Pengurus pasukan Sri Aman FA, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata pasukannya perlu fokus dan bersedia kerana Sibu FA turut bermatlamat sama kerana mereka belum lagi menemui rentak kemenangan setakat ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengambil mudah saingan yang bakal diberikan pasukan lawan kendalian Omar Mayah Mohd Abun dan tetap mahu mencari kemenangan mutlak bagi terus menghalang kemaraan pasukan.
“Kemenangan dalam perlawanan petang esok adalah penting dalam usaha pasukan mengukuhkan kedudukan seterusnya berpeluang cerah ke pusingan akhir di Bintulu nanti.
“Memang di atas kertas kita nampak berupaya menyaingi pasukan lawan, tetapi Sibu FA dijangka terus memberi saingan dan sebagai jalan selamat, kami mesti meraih tiga mata untuk menjamin kedudukan kami.
“Kita akan mengikut apa yang dirancang oleh Ketua jurulatih, Sufian Ibrahim dan dibantu dua penolong jurulatih, Ramos dan Ramles Sari kerana mereka ada strategi tersendiri menjelang perlawanan selain akan merangka strategi lain,” ujarnya kepada Utusan Sarawak semalam.
Awang Putrayusrie juga tidak mahu barisan pemainnya leka dan mendabik dada ekoran kejayaan meraih dua kemenangan sebelum ini dan mereka perlu memberikan perhatian penuh,
“Bagi saya, kejayaan memenangi dua perlawanan pada saingan sebelum ini sudah berlalu, dan apa yang penting kami perlu fokus menghadapi cabaran misi penting ini di samping bekerja lebih keras meraih kemenangan,” tegasnya.
Malah, beliau memberitahu dari segi persediaan, Sri Aman FA dilihat telah bersedia, walaupun ada beberapa pemain masih belum serasi bersama ekoran lama tidak turun padang, namun ia bukan masalah besar kerana yang penting pemain perlu terus konsisten dengan kecergasan dan stamina biarpun hanya menjalani latihan selama seminggu.