PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) memberi jaminan gelanggang rasmi perlawanan kempen Liga Malaysia (Liga M) 2022 yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya akan diselengarakan dengan sebaik mungkin.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC, Semawi Mohammad berkata, pihalnya kini dalam usaha memastikan semua fasiliti di stadium tersebut termasuk padang, bilik persalinan dan kebersihan dalam keadaan baik dan memuaskan sebelum perlawanan bermula Mac depan.
“Gelanggang ini merupakan imej kepada Sarawak dan kita mahu memastikan ia berada dalam keadaan terbaik sekali gus ingin membuktikan kepada Malaysia Football League (MFL) bahawa Sarawak sudah bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Stadium Negeri, Petra Jaya bersama-sama Persatuan Bola sepak Sarawak (FAS) di sini, semalam.
Menurut Semawi, tempoh masa beberapa minggu yang ada akan digunakan bagi mengemas kini gelanggang berkenaan mencakupi pelbagai aspek.
Katanya, pemeriksaan hari ini (semalam) diadakan bagi memastikan SSC telah bersedia menganjurkan perlawanan pertama Liga Super pada 4 Mac iaitu Sarawak United FC (SUFC) menentang Kedah FA.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru orang ramai untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada Sarawak United FC pada perlawanan Liga Super menentang Kedah FA nanti.
“Jumlah kehadiran penonton yang dibenarkan setakat ini untuk memasuki stadium adalah sebanyak 50 peratus dari kapasiti stadium, namun kebenaran itu tertakluk kepada keputusan pihak MFL dan situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya.