KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan meneliti penggunaan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) dalam usaha memerangi rasuah dan memperkukuhkan tadbir urus korporat.
Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Haji Husain berkata, penggunaan sistem digital yang diiktiraf global ini akan menambah baik dasar dalaman yang sedia ada.
Inisiatif ABMS ini digunakan bawah ISO 37001 yang merupakan standard antarabangsa bakal menangani masalah berkaitan salah laku yang dikesan dalam organisasi dengan menggunakan dasar anti-rasuah.
“Kami (SEDC) akan menggunakan pelan anti-rasuah ini dalam memastikan keberkesanan memerangi salah laku dan rasuah yang masih berada pada tahap berisiko rendah di SEDC dan anak syarikatnya,” ujarnya.
Abdul Aziz berucap ketika Majlis Penutupan Bengkel Pencegahan Rasuah Organisasi (OACP) 2020 untuk SEDC Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Bengkel tiga hari ini dianjurkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman (UNION) Pejabat Ketua Menteri Sarawak (JKM) dengan kerjasama Unit Integriti dan Pengurusan Risiko (IRMU) organisasi.
“Penganjuran bengkel ini sejajar dengan inisiatif Kerajaan Sarawak agar jentera pentadbiran dan pengurusan memiliki OACP tersendiri yang seiring dengan Rancangan Pencegahan Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada Januari tahun lalu,” katanya.
Pengurus Besar SEDC, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dalam ucapan aluan beliau menggesa kakitangannya menjaga imej SEDC dengan membenteras gejala rasuah dan penyelewengan serta menjaga kualiti perkhidmatan di paras terbaik.
Sementara itu, Pengarah UNION, Adana Jed yang turut memuji inisiatif SEDC dalam menganjur bengkel yang melibatkan kakitangan jabatan dan pengurusan kanan yang dibantu oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dari pelbagai agensi negeri.
Pada bengkel OACP itu, isu penting yang disentuh termasuk pengukuhan tadbir urus korporat organisasi, pendaftaran risiko, perancangan, pengurusan dan operasi, pelaksanaan, pemantauan dan kawalan tindakan anti-rasuah.