KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menjadi agensi tempatan pertama yang tampil dan menyumbang RM2 juta kepada Tabung Bencana Negeri (SDF).
SEDC dalam kenyataan berkata, sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Ketua Menteri (CMO) di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.
Katanya, SEDC Sarawak diwakili Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain yang diiringi Pengurus Besar agensi itu, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir.
Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz menyatakan bahawa SEDC Sarawak telah memenuhi permintaan Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan sokongan rakyat termasuk mereka yang berada di sektor swasta untuk turut serta dalam menyumbang kepada tabung tersebut.
“Tabung ini terus meningkat pada 4 Jun setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan di mana Menteri Kabinet Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Setiausaha Politik menyumbang dua bulan gaji dan elaun mereka kepada SDF.
“Ini adalah masanya untuk kita bersama-sama mengumpul sumber kita untuk bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk membantu Kerajaan Sarawak di dalam memerangi wabak ini,” katanya sambil menambah jumlah yang disumbangkan oleh agensi itu dibuat setelah berunding dengan pihak pengurusannya, ahli lembaga pengarah dan juga anak syarikat.
Katanya, SEDC Sarawak komited dalam memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) khususnya dalam membantu masyarakat yang memupuk pertumbuhan penubuhannya dan pertumbuhan usaha perniagaan masa depan yang dilaksanakan bagi Kerajaan Sarawak.
Oleh JEAKQLEYN YACHO