
SIMANGGANG: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hari ini menyalurkan sumbangan peralatan dan keperluan kepada Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman.
Langkah ini merupakan komitmen berterusan SEDC dalam menyokong kebajikan masyarakat serta pembangunan sosial yang inklusif.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir, dan turut dihadiri pihak pengurusan rumah kebajikan, jawatankuasa penganjur, wakil SEDC serta kanak-kanak di bawah naungan rumah berkenaan.



SEDC menerusi inisiatif CSR mereka telah menyalurkan sumbangan peralatan dan keperluan kepada Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman, hari ini. Foto: SEDC
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program CSR tersebut bukan sekadar penyampaian bantuan material, sebaliknya mencerminkan keikhlasan SEDC dalam memahami keperluan sebenar komuniti serta menyumbang kepada kesejahteraan jangka panjang golongan yang memerlukan, khususnya kanak-kanak.
Menurutnya, sumbangan berkenaan diharap dapat menyokong kelancaran pengurusan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol di samping mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat bagi perkembangan emosi, intelektual dan sosial anak-anak di situ.
Sumbangan yang disalurkan merangkumi beberapa peralatan dan keperluan asas bagi menyokong operasi harian rumah kebajikan tersebut.
Antara barangan disumbangkan ialah dua unit penyaman udara, satu unit mesin basuh lengkap dengan pengering, satu unit televisyen, tiga unit peti ais, dua unit kabinet almari 12 pintu, satu unit dispenser air serta satu unit meja keluli tahan karat.
Kesemua sumbangan itu bertujuan meningkatkan tahap keselesaan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menetap di rumah kebajikan berkenaan, sekali gus membantu memastikan persekitaran penjagaan yang lebih baik dan terurus.
Beliau turut memaklumkan bahawa program CSR ini menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan kerjasama serta meneroka ruang sokongan berterusan pada masa hadapan, termasuk pelaksanaan program pendidikan, bimbingan kemahiran, pembangunan sahsiah dan sesi motivasi yang memberi manfaat langsung kepada kanak-kanak.
SEDC menegaskan bahawa pembangunan sosial perlu bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi, selaras dengan aspirasi korporat ‘Memakmurkan Sarawak Hari Ini untuk Hari Esok’, di mana kesejahteraan rakyat dan pembinaan masa depan generasi muda terus menjadi keutamaan.
Dalam pada itu, SEDC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang menyumbang tenaga dan sokongan dalam menjayakan program tersebut.
SEDC merupakan badan berkanun milik kerajaan negeri yang ditubuhkan pada 1972 bagi menggalakkan pembangunan komersial, industri dan sosioekonomi di Sarawak.
Sejak penubuhannya, SEDC terlibat dalam pelbagai sektor strategik termasuk pengeluaran hidrogen, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan Pelan Induk Damai, selari dengan misinya memakmurkan Sarawak untuk generasi kini dan masa hadapan.
Oleh Adi Safarman