
KUCHING: SEDC Energy bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak meneruskan tradisi tahunan Ramadan dengan mengagihkan bubur pedas kepada komuniti sekitar di PETROS Multifuel Station (MFS) Batu Kawa, di sini hari ini.
Menurut kenyataan SEDC Energy, program tersebut melibatkan komuniti dari RPR Batu Kawa Fasa 2, Kampung Sinar Budi, Taman Desa Bumiko dan Taman Desa Wira yang menerima bubur pedas yang diagihkan.
Pengagihan disempurnakan oleh Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran bersama Ketua Jualan dan Operasi SEDC Energy Kathleen Kiew yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEDC Energy Robert Hardin.

Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam mengeratkan hubungan bersama komuniti selain meraikan tradisi Ramadan yang sinonim di Sarawak.
Terdahulu, kakitangan SEDC Energy dan anggota bomba berganding bahu menyediakan hidangan tradisi Ramadan Sarawak itu di Ibu Pejabat JBPM Sarawak sebelum diagihkan kepada komuniti setempat.
Menurut Robert, inisiatif tersebut turut mencerminkan peranan PETROS MFS sebagai stesen yang berorientasikan komuniti, bukan sekadar hab runcit tenaga tetapi juga platform yang menghimpunkan masyarakat.
“Sebagai jenama milik Sarawak, PETROS MFS bukan sekadar stesen pengisian bahan api, tetapi juga pusat komuniti yang menghimpunkan masyarakat seperti yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya.
Kerjasama antara SEDC Energy dan JBPM Sarawak itu turut menonjolkan kepentingan perkongsian strategik dalam memberi impak sosial positif khususnya sepanjang Ramadan.
Oleh Shahrul Qaizat