
KUALA LUMPUR, 15 Mei -- Posmen Amirun Mohammed Hussein (kanan) dan Syafiq Shamsuddin dilihat memasukkan bungkusan ke dalam kotak motosikal sebelum dihantar kepada pelanggan ketika tinjauan fotoBernama di Pusat Pos Laju Petaling Jaya hari ini. Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19, Pos Malaysia terus memainkan peranan dalam memastikan kesalinghubungan negara dan akses kepada penghantaran barangan penting. Terdapat peningkatan sebanyak 35 peratus dalam jumlah bungkusan yang diterima dan diproses oleh Pos Malaysia sepanjang tempoh PKP, ini disebabkan kebanyakan pelanggan tiada pilihan lain dan terpaksa membuat pelbagai jenis pembelian barangan hanya menerusi dalam talian. Seperti tahun-tahun yang lalu, menjelang Hari Raya, Pos Malaysia sentiasa berada di dalam keadaan bersiap sedia untuk menerima peningkatan jumlah bungkusan dan untuk tahun ini Pos Malaysia menjangka akan ada peningkatan jumlah bungkusan sebanyak 48 peratus disebabkan oleh PKP. Secara purata harian, Pos Malaysia menerima sehingga 770,000 bungkusan sehari dan jumlah ini terus meningkat dari masa ke semasa terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri. Jumlah tertinggi yang pernah diterima semasa PKP ini adalah lebih daripada 800,000 bungkusan sehari. Pos Malaysia dalam satu notis baru-baru ini mengumumkan tempoh penghantaran sepanjang tempoh PKP ianya tiga hingga lima hari untuk Semenanjung Malaysia dan manakala lima hingga tujuh hari bagi Sabah dan Sarawak. Selain daripada itu, proses penghantaran bagi bungkusan antarabangsa juga mengalami sedikit kelewatan akibat penutupan lapangan terbang dan pembatalan penerbangan sebagai langkah keselamatan COVID-19. Justeru itu, pihak Pos Malaysia berharap agar pelanggan-pelanggan dapat bersabar sepanjang tempoh yang mencabar ini kerana terdapat peningkatan jumlah bungkusan yang tinggi dan Pos Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan semua penghantaran dibuat dengan cepat dan berkesan. -- fo

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan pengurangan pekerja dan pemotongan gaji akibat daripada pandemik Covid-19, telah menjejaskan rantaian bekalan di seluruh dunia menyebabkan kemerosotan atau penutupan perniagaan dan kehilangan mata pencarian.
Penyedia perkhidmatan penghantaran pos itu berkata, ia akan terus melindungi mata pencarian lebih 15,000 petugas barisan hadapan dan sokongan operasi, memastikan kepentingan mereka diutamakan, walaupun hakikat perniagaannya penghantaran surat, bungkusan antarabangsa, Pos Penerbangan, Pos Logistik dan lain-lain turut terkena tempias daripada pandemik itu.
“Walaupun banyak sektor yang terjejas teruk di negara ini melakukan pemotongan gaji, pengurangan pekerja atau langkah-langkah drastik yang lain, Pos Malaysia terus berusaha keras memastikan masa depan pekerja ini dilindungi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.
Pos Malaysia berkata, ia kini sedang melaksanakan proses transformasi untuk memulihkan perniagaannya, dan apabila rancangan itu berjalan lancar dan keadaan bertambah baik, ia akan memastikan ganjaran yang lebih baik kepada pekerjanya.
“Pada masa yang sama, ketika perniagaan sedang menyesuaikan diri dengan normal baharu, kami akan terus melaksanakan tanggungjawab dan berkhidmat kepada negara sebagai penyedia perkhidmatan penting pada waktu yang mencabar ini,” katanya.
Pos Malaysia berkata, ia berterima kasih atas usaha bersama petugasnya, yang bekerja tanpa lelah untuk memastikan penghantaran dan perkhidmatan dilakukan dengan lancar, terutama menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kami berharap mendapat sokongan berterusan daripada orang ramai dan kami juga berharap mereka memahami cabaran sukar yang harus kita lalui dalam waktu yang sukar ini,” kata syarikat itu. – Bernama