
KLANG: Pasukan Sedaya Fighter Club dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sedaya, Kanowit, berjaya meraih lapan pingat keseluruhan pada Kejuaraan Taekwondo Terbuka Malaysia Gewinn Ke-8 yang berlangsung di KSL Esplanade, di sini, dari 8 hingga 10 Ogos lalu.
Pasukan di bawah naungan Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (PTNS-MTA) itu memenangi satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa pada kejohanan yang disertai atlet dari Korea, Pakistan, India, Nepal, Indonesia dan Malaysia.
Pingat emas diraih Valentine Dian Senia dalam acara Tendangan Pantas kategori 15 hingga 17 tahun, manakala Larryson Veronica dan Isaac Manja Peter masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa bagi acara sama.
Danny Rash turut menyumbang pingat gangsa untuk kategori 13 hingga 14 tahun. Dalam acara Kyurogi (latihan bertarung) kategori 15 hingga 17 tahun, Valentine dan Larryson masing-masing meraih perak dalam kelas ringan dan kelas berat, manakala Isaac dan Eric Mikhail Romeo memenangi gangsa bagi kelas bantam dan kelas fly.
Kejayaan itu turut membantu PTNS-MTA menjuarai acara Tendangan Pantas dan Rutin Jurus keseluruhan, sekali gus membuktikan pasukan dari SMK Sedaya sebagai aset penting pembangunan taekwondo Sarawak.
Jurulatih pasukan, Hilary Tadong dan Abang Nulang, merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana atas sumbangan dana membiayai perjalanan dan penyertaan mereka.
Oleh Tarani Lanting