SEDAR rasmi tukar nama kepada WAWASAN

Facebook
WhatsApp
LOGO Parti Wawasan Rakyat (WAWASAN).

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) kini secara rasmi menggunakan nama Parti Wawasan Rakyat (WAWASAN) selepas mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Presiden WAWASAN, Affendi Jeman, berkata pihaknya menerima notifikasi rasmi daripada ROS bertarikh 11 Ogos 2026 pada 17 Ogos lalu berhubung kelulusan pertukaran nama tersebut.

Menurut beliau, kelulusan itu menjadi detik penting dalam perjalanan parti untuk bergerak dengan identiti, semangat dan wawasan baharu dalam membawa aspirasi rakyat.

“Nama WAWASAN bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya membawa makna lebih besar, iaitu keperluan melihat masa depan negara dan rakyat dengan pandangan yang jauh, matang dan berani,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa politik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pilihan raya dan perebutan kuasa, sebaliknya perlu berteraskan wawasan, dasar, perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“WAWASAN mahu membina budaya politik yang lebih konstruktif, iaitu politik yang mampu menyatukan dan bukan memecah-belahkan, serta menawarkan penyelesaian dan bukan sekadar mencari kesalahan.

“WAWASAN juga mahu menjadi wadah politik yang berpandangan jauh, sederhana, inklusif dan berorientasikan penyelesaian dalam menghadapi landskap politik Malaysia yang semakin kompleks,” jelasnya.

Tambah beliau, penjenamaan baharu itu tidak memadamkan sejarah dan pengalaman SEDAR, sebaliknya segala pengalaman, perjuangan dan pengajaran sepanjang perjalanan parti berkenaan akan menjadi asas kepada pembinaan WAWASAN.

“Selepas ini, tumpuan kami adalah untuk memperkukuh struktur organisasi, memperluas jaringan akar umbi, memperkemas dasar parti serta memperkenalkan Wawasan Politik dan Wawasan Pembangunan yang benar-benar menjawab keperluan rakyat.

“WAWASAN akan terus membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang percaya kepada politik matang, perpaduan, keadilan, pembangunan seimbang, tadbir urus baik dan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“WAWASAN bukan sekadar nama baharu. WAWASAN adalah satu tekad baharu,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ROS atas kelulusan berkenaan serta kepada kepimpinan dan ahli parti yang terus menyokong perjuangan tersebut.