SEBUTIR peluru yang masih melekat di tulang rusuk kanannya hingga sekarang mewarnai kisah suka duka sepanjang berkhidmat sebagai seorang tentera.
Bagi bekas tentera yang berasal dari Kampung Sungai Ragei Mukah, Latip Mawi, perkara itu tetap menjadi kenangan buatnya sampai bila-bila.
“Sekarang ini masih ada satu lagi peluru yang masih melekat di tulang rusuk kanan saya. Dan sebelum itu saya sudah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali. Pada tahun 2006, saya sekali lagi hendak menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru ini di Hospital Umum Sibu namun tidak dibenarkan,” katanya.
Kata Latip lagi, doktor menyarankannya untuk tidak meneruskan hasrat untuk pembedahan kali keempat atas sebab-sebab klinikal.
“Doktor tidak menyarankan saya untuk teruskan pembedahan kerana tidak dapat menjamin kesembuhan. Jika diteruskan mereka takut mungkin saya akan lumpuh seumur hidup. Jadi saya terpaksa membatalkan hasrat untuk pembedahan kali keempat pada tahun 2006 itu,” katanya.
Dia menyertai tentera pada tahun 1981 dan ditempatkan di Batalion ke 24 Rejimen Askar Melayu Diraja dari tahun 1981 hingga 1983 dan pada April tahun itu merupakan detik mencemaskan dalam kariernya.
“Pada 20 April 1983, saya menyertai operasi Jala Aman Satu. Kami berangkat dari Kuching menaiki kapal laut terus ke pangkalan Kem Tentera Laut KD Sri Rejang Sibu dan tiba di sana pada jam 5.00 petang. Dari sana kami dengan kapal yang sama ke Bintangor dan tiba pada jam 8.00 malam. Dari Bintangor kami menaiki trak 3 ton ke Kem Sungai Joh Kanowit dan bermalam di situ,” katanya.
Pada 22 April 1983 kira-kria jam 8.00 pagi mereka menaiki trak dan menuju ke Jambatan Sungai Assan Kanowit.
“Dari Jambatan Sungai Assan, kami turun berjalan kaki meredah hutan meniti tebing sungai Assan hingga ke hulu sungai lebih kurang jam 3.00 petang. Kami sampai di sebuah rumah panjang yang ketiga sepanjang Sungai Assan itu,” kata Latip.
Selepas itu, ujarnya, mereka membuat pengkalan bersebelahan dengan rumah panjang berkenaan dan mengadakan perintah berkurung di rumah panjang dari jam 5.00 petang hingga 7.00 pagi.
“Kami mendapat berita pada jam 9.30 malam seorang daripada anggota tentera terkorban dalam serangan malam tersebut. Seorang demi seorang anggota kami terkorban dan tercedera sepanjang operasi Jala Aman 1. Kalau tak silap saya, 12 anggota terkorban dengan 11 lagi cedera,” katanya.
Rentetan daripada berita kematian beberapa anggota tentera sepanjang operasi itu, tibalah tarikh 29 April 1983 yang tetap menjadi kenangannya sampai bila-bila kerana beliau terkena tembakan pada malam tersebut.
“Pada malam 29 April, saya mengambil alih tugas senteri dari jam 11.30 malam. Pada jam lebih kurang 12.20 tengah malam saya membuat pemeriksaan ke atas periuk api (claymore mine) yang kami pasang pada siang hari takut benda itu terbalik menghala ke pihak kami,” katanya.
Namun pada ketika itu, ujarnya lagi, tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan yang sangat hampir dengan dia.
“Ternyata tembakan tersebut mengena diri saya. Saya tercedera di bahagian perut kanan dan ibu jari kaki kanan. Walaupun saya sudah cedera tetapi saya tetap masih boleh berjalan untuk mendapat bantuan rawatan dari anggota perubatan medan pada jam kira-kira 12.30 pagi,” katanya lagi.
Setelah mendapat rawatan selang 20 minit kemudian, katanya, badan dia menggigil kesejukan dan diikuti dengan berpeluh kepanasan kerana bias dari kesan tembakan sudah meresap keseluruh badan.
“Lalu ketua kompeni saya mengarahkan anggota perubatan memberi satu suntikan morphine untuk melegakan kesakitan yang saya alami. Pada masa itu juga pihak kami memohon bantuan helikopter untuk membawa saya keluar dari kawasan operasi ternyata tidak berhasil,” kata Latip.
Namun, katanya, pada jam 7.30 pagi (30 April) barulah sebuah helikopter tiba untuk membawa dia keluar dan terus dihantar ke hospital Lau King Howe Sibu untuk rawatan selanjutnya.
“Pada kira-kira jam 4.30 petang saya menjalani satu pembedahan untuk mengeluarkan peluru dan terus dirawat di sana sebelum dipindahkan ke Hospital Tentera di Kem Penerissen Kuching selama satu bulan. Pada 6 Jun saya keluar dari hospital tentera (RSAT) Kuching dan balik ke Kem Semenggo Kuching,” katanya lagi.
Dan pada 10 Jun 1983 diarahkan untuk menyertai Jala Aman 3 pula dan ditempatkan di Kem Tektikal Julau Kanowit.
“Walaupun bekas luka pembedahan masih sakit lagi, saya terpaksa patuhi arahan pihak atasan. Pada September 1983 kami diarah untuk balik ke Kem Semenggo Kuching kerana Batalion kami 24 RAMD akan berpindah ke Kelantan pada Disember 1983,” kata Latip.
Selepas menceritakan kesah dia terkena tembekan, Latip menyatakan pembedahan yang dia jalani selepas yang pertama di Hospital Lau King Howe Sibu, ialah di Hospital USM Kubang Krian Kelantan pada tahun 1986.
“Dan pada tahun 1996 saya menjalani pembedahan kali ketiga di Bahagian Perut untuk mengeluarkan serpihan peluru. Sekian kisah suka duka saya mulai dari tahun 1981 sehinggalah pihak komunis menyerah diri dan meletak senjata pada tahun 1989. Dan saya menamatkan perkhidmatan selama 22 tahun dalam Angkatan Tentera pada 20 Februari 2003,” kata Latip dengan senyuman.