
KUCHING: Sebuah rumah separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Lorong 11, Kampung Bintawa Ulu, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.01 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama BBP Padungan sebagai balai bantuan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Kebakaran melibatkan rumah jenis struktur separuh kekal berkeluasan anggaran 50×80 kaki persegi dan didapati terbakar 100 peratus.
Dua rumah berhampiran turut terjejas dengan kerosakan haba sekitar lima peratus.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan nozel menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran.
Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kediaman lain.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan.
Oleh Amanda L