







BINTULU: Seramai 56 mangsa daripada 14 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu yang dibuka pada 12.30 tengah malam, susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Bintulu malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan terdiri daripada penduduk Kampung Kemunting dan Rumah Roselind Suang.
“Seramai 23 orang, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU), dua warga emas dan 11 kanak-kanak, berasal dari Kampung Kemunting, manakala 33 orang termasuk 10 kanak-kanak dan lima bayi adalah dari Rumah Roselind Suang,” menurut kenyataan itu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan keluaran operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke Kampung Kemunting, kira-kira tujuh kilometer dari bandar Bintulu, pada jam 10.30 malam berikutan panggilan kecemasan banjir.
“Setibanya di lokasi, air didapati sudah naik dan pasukan bomba membantu memindahkan 16 mangsa menggunakan lori Hicom,” katanya.
Pihaknya turut menerima panggilan kecemasan serupa dari Rumah Roselind Suang pada 12.52 pagi sebelum PKO BBP Bintulu dengan 13 anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba memindahkan mangsa menggunakan bot aluminium sebelum dihantar ke PPS menaiki lori Hicom, dan operasi berkenaan ditamatkan pada 2.45 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.- Bernama