SERIAN: Hospital Serian menerima sebuah mesin hemodialisis tambahan di bawah bantuan pesakit buah pinggang (BPBP) yang bernilai RM41,150 bagi menambah bilangan mesin sedia ada di hospital tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pada tahun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah membeli sebanyak 24 mesin hemodialisis secara tender dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM987,600.
“Penerimaan mesin hemodialisis ini dapat menambah bilangan mesin sedia ada berikutan pertambahan bilangan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital Serian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan mesin tersebut di Bilik Persidangan Hospital Serian, hari ini.
Katanya lagi, penempatan dan penambahan mesin hemodialisis di pusat kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak adalah mengambil kira keperluan penggunaan mesin atas sebab pertambahan pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan, penggantian mesin hemodialisis yang telah lama dan usang dan kapasiti penggunaan mesin yang tinggi.
“Dengan penambahan mesin ini, ia dapat menampung penambahan pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan iaitu lima hingga enam orang sehari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak 1 Januari 2020 sehingga 31 April lepas, seramai 198 pesakit buah pinggang telah dibantu melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM9,310,424.75.
Untuk rekod, setakat ini seramai 70 pesakit mendapatkan rawatan di Unit Hemodialisis Hospital Serian sejak mula beroperasi pada 2002 dengan mesin hemodialisis di hospital tersebut bertambah daripada tujuh mesin kepada 16 mesin pada masa kini.
Oleh Nur Ain Otsman