SIBU: Hanya sebilangan kecil guru di negeri ini yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr. Annuar Rapa’ee, beliau difahamkan sekitar 140 guru di Sarawak yang belum menerima suntikan vaksin mereka.
“Daripada jumlah ini , kebanyakan mereka masih belum memutuskan untuk menerima suntikan vaksin, tetapi Jabatan Pendidikan memberi mereka kaunseling mengenai pentingnya divaksinasi.
“Hanya segelintir yang tegas dalam keputusan mereka untuk tidak mahu divaksinasi atas dasar peribadi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun di Dewan Suarah Sibu, Isnin lalu.
Apabila ditanya mengenai jumlah guru di Sibu yang belum menerima suntikan vaksin mereka, Annuar memberitahu beliau tidak mempunyai perinciannya.
“Saya tidak mempunyai perinciannya,” jawabnya ringkas.
Dalam pada itu, Annuar berkata, adalah penting bagi guru menerima suntikan vaksin untuk mendapatkan kepercayaan ibu bapa, pelajar sekolah dan rakan-rakan mereka sebelum sekolah dibuka semula.
“Saya percaya dengan sekolah yang akan dibuka semula, adalah penting bagi guru diberikan suntikan vaksin untuk mendapatkan kepercayaan ibu bapa, pelajar sekolah dan juga rakan mereka,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD