Oleh Roslan Jomel
TERLEBIH dahulu, saya ingin membetulkan ungkapan awal dalam naskhah “Dari Kuali Ke Mesin Probat G45” yang berbunyi: “Aku tak pernah menyangka Tuhan mendengar doaku untuk memiliki Probat G45 ni.”
Sebagai penganut agama Islam, semua maklum bahawa Tuhan mendengar setiap apa yang dibisikkan oleh kalbu manusia. Dalam gelap mahupun terang. Sama ada di atas langit begitu juga di dasar lautan. Tiada yang terlepas daripada pengetahuan-Nya, kerana sebagai pencipta alam semesta, semua makhluk berada di bawah naungan-Nya. Sebagaimana firman Allah yang terakam dalam al-Quran, surah Ali ‘Imran ayat 5, “Sesungguhnya bagi Allah tidak ada satu pun yang tersembunyi di bumi dan tidak (pula) di langit.”
Mohd Haziq Danish mengarang tentang impian watak utamanya (Nuruddin) untuk mengembangkan perniagaan berasaskan kopi. Generasi muda masa kini kian ghairah terhadap minuman kopi. Kafe-kafe yang menghidangkan pelbagai jenis perisa kopi tumbuh bagai cendawan berikutan aliran gaya hidup anak muda masa kini di kota-kota. Minuman kopi bukan lagi sekadar jamuan wajib orang-orang tua di kampung. Namun, minuman kopi pada masa kini adalah suatu indikasi imej sosial kepada penikmatnya. Peminumnya dilihat bergaya, mempunyai kelas dan cita rasa apatah lagi ketika sedang membaca buku. Minuman kopi sering dipadankan dengan kegiatan intelektual. Sungguh tepat dan kena pada masanya apabila cerita tentang kopi ditulis, memandangkan tema ini juga sangat langka dalam dunia kreatif.
Secangkir kopi, mahal atau murah, di warung kampung atau di kafe dalam pusat membeli-belah, mempunyai sejarah dan nilai sentimental sepanjang perkembangan cendekiawan Islam. Bersandarkan sumber Arab, seorang ilmuwan bernama RS Hattox dalam bukunya, Coffee and Coffeehouses: The Origin of a Social Beverage in the Medieval Near East, mengungkapkan bahawa kopi telah dibawa oleh Muslim Yaman ke tanah kelahiran mereka dari Ethiopia sekitar tahun 1400 Masihi. Minuman kopi turut menjadi kegemaran golongan sufi untuk menyegarkan tubuh badan mereka agar sentiasa aktif melakukan amalan kerohanian (sembahyang tahajud, misalnya) pada sebelah malam. Walaupun minuman kopi pernah difatwakan haram suatu ketika dahulu, namun setelah dibuktikan secara saintifik bahawa kopi tidak memudaratkan kesihatan penikmatnya, pengharaman tersebut telah ditarik balik. Asalkan jangan diminum secara berlebihan, kerana apa-apa sahaja yang dilakukan secara berlebihan, sememangnya mengundang bencana.
Nuruddin telah menetapkan rancangannya untuk masa depan. Jelas, dia tidak mahu bekerja di bawah telunjuk orang lain. Cita-cita yang tertanam sejak di bangku sekolah rendah lagi itu tidak pelik. Hal ini kerana, disebabkan keluarganya yang memiliki kebun kopi. Itulah faktor penyumbang ke dalam dirinya untuk bertekad menjadi pengusaha kopi yang berjaya pada suatu hari kelak. Syarikat pemanggangan biji kopi telah dimulakan oleh Nuruddin, Sinar Gayo mula beroperasi pada suku keempat tahun 2019. Doanya untuk memiliki mesin Probat G45 akhirnya terlaksana. Mesin elektrik itu diperlukan untuk memanggang biji kopi berjenama mahal. Lambat atau cepat, ia urusan rezeki. Dan rezeki itu milik Allah. Manusia hanya mampu merancang, berikhtiar dan selebihnya berdoa agar apa yang dihajati akan diperoleh. Dengan mesin canggih itu, standard pengeluaran dari syarikat Nuruddin sudah tentu akan lebih baik.
Adat orang berniaga, tidak semuanya lancar pada peringkat permulaan. Setahun lamanya Nuruddin bersungguh-sungguh memanggang biji kopi menggunakan kuali sahaja. Sebagaimana yang kian menjadi alternatif pada masa kini, Nuruddin tidak perlu menghadiri kelas untuk menguasai sesuatu kemahiran. Alat teknologi menjadi pilihan terbaik dan murah. Berpandukan tutorial dari Youtube, Nuruddin belajar memanggang biji kopi yang dibelinya dari ladang kopi Robusta di Kuching. Malangnya, kualiti biji kopi yang dipanggang tidak memberikan kepuasan kepada pihak pembeli. Hangit. Malahan pek serbuk kopi yang dijajanya telah dicampak di depan wajah Nuruddin sendiri. Insiden itu masih membekas dalam ingatannya dan tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha menghasilkan produk yang terbaik. Apa yang perlu dilakukan oleh Nuruddin ialah bertemu dengan ahli kopi. Berguru daripada seorang yang mahir merupakan jalan keluar daripada masalah yang dihadapinya. Begitulah resolusinya.
Ada cahaya di hujung terowong buat mereka yang tidak mudah berputus asa. Nuruddin secara tidak sengaja, telah bertemu dengan individu yang arif bagaimana untuk memanggang biji kopi dengan lebih sempurna. Ahmad, namanya. Pada pertemuan pertama, Ahmad memaklumkan kesalahan cara pemanggangan biji kopi yang dilakukan oleh Nuruddin. Hal itu mengejutkan Nuruddin. Ahmad sesungguhnya seorang pemanggang biji kopi yang terlatih. Berasal dari Aceh, Indonesia. Bersuku Gayo yang secara tradisional memang mahir memanggang biji kopi walaupun hanya menggunakan kuali sahaja. Maka, Nuruddin telah menemui jalan keluar kepada masalah mutu pemanggangan biji kopinya. Bahkan penyelesaiannya lebih praktikal daripada sekadar menuntut ilmu secara maya melalui Youtube. Tanpa melepaskan peluang di depan mata, Nuruddin segera memohon agar Ahmad sudi mengajarnya.
Setelah belajar dengan tekun dan penuh khusyuk di bawah bimbingan dan panduan dari Ahmad, Nuruddin akhirnya berjaya memiliki kemahiran yang sangat diperlukan dalam teknik pemanggangan biji kopi. Setiap perincian biji kopi perlu diperhatikan dengan serius agar kualiti biji kopi yang selesai dipanggang mendapat hasil yang sekata. Beruntungnya Nuruddin, bukan sahaja dia diajar memanggang biji kopi oleh Ahmad, malahan turut diberi pelajaran keagamaan sebagai bekal menuju akhirat. Daripada ilmu tauhid, fiqah sehinggalah ke ilmu tasawuf. Pengetahuan sebegitu memang mustahak dipelajari oleh mana-mana manusia beragama Islam. Di situlah sebenarnya destinasi manusia nanti. Adakah lagi batu penarung buatnya? Ya, untuk bersaing dalam perniagaan pada masa kini, bakat memanggang biji kopi saja belum memadai. Nuruddin mahukan suatu peranti yang canggih untuk pemanggang biji kopi, seiring dengan kehendak pasaran era moden. Ilmu pengetahuan dan kepekaan aliran masa kini juga turut memainkan peranan jika ingin maju.
Impian Nuruddin untuk menubuhkan syarikat sendiri dibincangkan dengan Ahmad. Nuruddin ingin memasarkan biji kopi tempatan, Robusta dan Liberica. Ahmad yang mempunyai pengetahuan dalam minuman kopi memberi beberapa usul kepada Nuruddin tentang cita rasa peminum kopi generasi baharu sekarang. Nuruddin mendengar dengan teliti tentang rasa minuman kopi, nilai estetika dan tarikan khusus buat masyarakat mutakhir yang gemar pada sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan. Aspek-aspek yang dianggap kecil itu sesungguhnya amat penting jika ingin berniaga minuman kopi untuk penggemarnya pada masa kini. Ekspresi pertama secara luaran selalunya mudah menambat perhatian sesiapa pun. Jadi, Nuruddin sangat beruntung mendapat nasihat profesional dari Ahmad, yang sememangnya sudah pakar dalam perniagaan kopi. Itulah pentingnya berjumpa dengan mereka yang berkelayakan dalam sesuatu bidang. Segala masalah akan diselesaikan dengan ilmu.
Dalam perbincangan itu, Ahmad berharap agar Nuruddin menjual biji kopi Gayo yang kini merupakan antara produk masyhur di dunia. Bertentangan dengan niat awal Nuruddin. Daripada pemerhatian Ahmad, kopi Gayo mampu meraih sambutan di Kuching dan Samarahan. Nuruddin yang tertarik dengan idea Ahmad, terus diajak ke Takengon, tempat kelahiran Ahmad. Menurut Ahmad, kopi Gayo menjadi kebanggaan tersendiri di Nusantara. Demikian kata Ahmad untuk menghuraikan sudut kesaktian biji kopi Gayo: “Semangat kopi Gayo itu dibina atas elemen kemegahan Nusantara, usaha berterusan, suasana kebersamaan dan kerohanian.”
Ahmad juga menjelaskan kehebatan rasa kopi Gayo yang kurang pahit tetapi mengandungi kemanisan asli. Hal itu sudah tentu menambah pengetahuan buat Nuruddin yang sebelum ini kurang arif tentang struktur biji kopi. Rupa-rupanya pembacaan Nuruddin tentang biji kopi masih belum menyeluruh. Betapa kayanya khazanah dan sumber alam semula jadi. Ahmad mengusulkan kepada Nuruddin untuk menjual biji kopi Gayo di Kuching.
Setelah diskusi demi diskusi, Nuruddin akhirnya bersetuju untuk memilih biji kopi Gayo untuk dikomersialkan. Syarikat Sinar Gayo pun ditubuhkan pada tahun 2019 dengan objektif utamanya mengimport biji kopi Gayo terus dari Indonesia. Keampuhan jenama kopi Gayo mula meniti dari bibir ke bibir. Nuruddin mula diburu wartawan yang ingin mencungkil resipi kejayaan dan juga rasa unik biji kopi dari Gayo itu. Nuruddin terus melebarkan sayap perniagaan syarikat kopi Gayo dengan mengadakan beberapa seminar tentang kopi dan melatih sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi barista. Itulah akses terbaik buat nama syarikat Sinar Gayo supaya terus membina reputasi dalam kalangan masyarakat pengguna. Sebagai tokoh perniagaan yang mula menempa kejayaan, Nuruddin mengingatkan kepada masyarakat bahawa setiap orang mampu meraih kejayaan walau apa pun bidang yang mereka ceburi. Pada masa kini, status kejayaan setiap individu itu bukan semestinya kerana berkhidmat dalam jabatan kerajaan. Persepsi sedemikian sudah lapuk dan sudah tidak relevan.
Jalan hidup memang aneh dan misteri. Rupa-rupanya hadiah mesin pemanggang biji kopi, Probat G45 datang daripada lelaki yang pernah menghina dirinya dahulu. Pemberi hadiah itu bernama Mustafa. Apakah yang mendorong Mustafa bertindak demikian? Tujuh tahun yang lalu, Mustafa telah memalukan Nuruddin. Dia merendah-rendahkan usaha yang dilakukan oleh Nuruddin. Mustafa yang juga merupakan orang besar di TVS, menyatakan kekesalannya kerana berkelakuan yang tidak sepatutnya sesama makhluk Allah. Dan apabila disahkan menghidap sakit jantung, Mustafa mula berfikir dari setiap masa tentang kesalahan yang mungkin telah dilakukannya dahulu. Mujur, dia telah berkesempatan menonton rakaman wawancara pihak TVS dengan Nuruddin yang kini telah pun berjaya dalam perniagaannya. Hati kecilnya terusik apabila mengetahui bahawa lelaki yang direndah-rendahkan dahulu, kini memiliki kedudukan sendiri dalam masyarakat.
Namun, kejutan menjadi lebih menarik apabila Ahmad mengakui bahawa dia dan Mustafa merupakan teman baik. Alangkah kecilnya dunia. Tetapi dalam fiksyen, kebetulan boleh berlaku atau sengaja diatur oleh pengarangnya. Diceritakan juga perselisihan dia dengan Mustafa tentang nilai-nilai tradisi kaum Gayo. Bagi Mustafa, dia memandang dengan sebelah mata tentang budaya atau apa-apa sahaja yang dianggap sebagai kepercayaan kolot sesuatu suku. Kononnya unsur-unsur tradisi tidak menepati dengan perubahan progresif zaman sekarang. Semakin seseorang itu dewasa dan matang dalam pemikiran, sikap menghina adat dan budaya yang menjadi amalan sesuatu suku atau kaum, petanda kecetekan akal dan budi. Namun dalam agama Islam, adat dan kepercayaan yang bertentangan dengan akidah agama, sememangnya wajar ditinggalkan. Ada sempadan akidah yang wajar diperhalusi.
Pertemuan yang tidak dijangka antara mereka bertiga dalam kilang, mengikat tali persahabatan yang akrab. Setelah berbasa-basi, ketiga-tiga mereka sedar bahawa hidup bukan semata-mata diukur dari sudut material. Bak kata Buya Hamka dalam buku Pandangan Hidup Muslim, “Kalau perasaan tidak ada, hidup menjadi kering dan gersang. Hidup menjadi robot berjalan”. Setiap manusia yang mahu dihormati, seharusnya juga bersikap saling menghormati sesiapa pun tanpa mengira latar belakang agama, pendidikan dan jawatan. Roda hidup sentiasa berputar. Sebentar di atas, sebentar menjunam ke bawah. Sifat menyombongkan diri dan berbangga-bangga dengan kemewahan yang ada di dunia, hanya menjerumuskan seseorang itu kepada penyakit riak yang sememangnya datang daripada perangai iblis.
Naskhah yang tidak banyak kerumitan dan kompleksiti jalan ceritanya itu, diakhiri dengan falsafah yang diilhami dari sebiji kopi Gayo. Ahmad bersyukur dengan kejayaan, melontarkan dialog yang mendalam maknanya, “maka jadilah kamu seperti kopi Gayo. Pahitnya kurang, masamnya sedikit, namun manisnya banyak. Ada ketikanya hidup kamu berasa pahit. Kadangkala memang ada harimu bermuram durja. Namun ibrah manis dan pahit masam hidupmu, ambillah ibrah manis darinya.” Perkataan “ibrah” yang bersumber daripada bahasa Arab, secara ringkasnya bermaksud, pengajaran daripada sejarah hidup peribadi atau orang lain. Mesin Probat G45 yang diidam-idamkan oleh Nuruddin, menjadi pemangkin kepada usahanya untuk terus bergerak ke hadapan dalam pengeluaran biji kopi Gayo. Siapa sangka, Nuruddin yang dahulunya terpaksa memanggang biji kopi secara konvensional, kini sudah mengorak langkah secara agresif dengan adanya mesin pemanggang yang lebih moden.
Kembali kepada struktur penulisan naskhah “Dari Kuali ke Mesin Probat G45”. Keistimewaan khusus tentang naskhah itu adalah pada temanya. Naskhah yang dihasilkan oleh Mohd Haziq Danish itu terhasil daripada tinjauan pengarangnya tentang budaya meminum kopi pada masa kini. Disampaikan dengan kaedah yang sederhana dan lebih mengutamakan kepada usaha watak utamanya untuk membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam kehidupan ini. Konflik yang dirakamkan hanya selapis di permukaan. Pengarangnya lebih menyoroti watak Nuruddin yang pada akhirnya mampu berdiri sama tinggi dengan mereka yang lain. Siapa yang rajin dan tidak mudah mengibarkan bendera putih, insya-Allah, akan menemui kejayaan. Namun untuk meraih kejayaan, kesungguhan sahaja belum memadai. Kesungguhan perlu ditambah dengan pengetahuan, ilmu dan kesediaan untuk terus belajar dari semasa ke semasa.
Pengarang naskhah “Dari Kuali Ke Mesin Probat G45” telah melakukan kerja rumah untuk memperkuatkan gagasannya tentang sejarah biji kopi di Sarawak. Tidak ramai pengarang fiksyen yang membicarakan minuman kopi secara spesifik. Hal ini suatu yang positif buat khalayak sastera. Mohd Haziq Danish telah memilih suatu tema yang menarik untuk pembinaan naskhahnya. Secara umumnya, budaya meminum kopi dalam masyarakat tempatan di Sarawak bukanlah hal baharu. Ia menu wajib dalam hidangan buat tetamu, muda atau berusia. Walaupun memang ada yang tidak meminum kopi, namun minuman itu kini mendapat sentuhan baharu apabila munculnya kafe-kafe berasaskan kopi di mana-mana. Ramai sasterawan besar meminati minuman kopi sebagai peneman ketika berkarya agar tidak mengantuk. Budaya minuman kopi telah direvolusikan seiring dengan peredaran zaman, dijenamakan dan dibungkus dengan gaya moden serta dihidangkan mengikut cita rasa terkini anak muda. Berkrim atau tanpa susu.
Selamat menikmati minuman kopi Gayo.