
KUCHING: Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menyuarakan kebimbangan mengenai penguatkuasaan etika pakaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri.
Ting berkata sebarang peraturan yang dilaksanakan agensi persekutuan di Sarawak perlu menghormati kemajmukan masyarakat negeri ini dan tidak sewajarnya menghalang akses kepada perkhidmatan awam melalui peraturan yang terlalu ketat sehingga menyusahkan orang ramai.
Beliau menegaskan bahawa LHDN ialah agensi persekutuan dan etika pakaian yang ketat itu tidak selaras dengan budaya pentadbiran atau realiti harian agensi kerajaan di Sarawak.
Menurutnya, garis panduan tersebut hanyalah arahan dalaman agensi persekutuan dan bukan dasar kerajaan Sarawak, justeru orang ramai tidak perlu salah faham.
“Sarawak mempunyai 34 kumpulan etnik dengan cara hidup dan latar budaya yang berbeza. Agensi persekutuan mesti memahami dan menghormati kepelbagaian ini,” katanya.
Ting berkata selama beberapa dekad, bahkan sebelum pembentukan Malaysia pada 1963, rakyat Sarawak tidak pernah berdepan masalah dihalang memasuki premis kerajaan sematamata kerana pakaian.
Beliau berkata masyarakat Sarawak hidup dalam suasana aman dan saling menghormati antara semua kumpulan etnik dan keadaan ini tidak wajar diganggu oleh peraturan luar yang tidak mencerminkan realiti di Sarawak.
Beliau mengakui bahawa berpakaian sopan ialah satu kesantunan, namun kebanyakan orang datang kepejabat kerajaan kerana keperluan. Menghalang mereka masuk atas alasan pakaian menjejaskan urusan kerja dan tanggungjawab peribadi serta bercanggah dengan konsep perkhidmatan mesra rakyat.
“Semangat utama perkhidmatan awam ialah rakyat didahulukan. Sebarang peraturan mesti mengutamakan kemudahan rakyat dan bukan mewujudkan halangan,” katanya.
Ting turut menggesa agensi persekutuan di Sarawak supaya menggubal peraturan yang selaras dengan norma tempatan dan tidak mengaplikasikan sepenuhnya amalan dari Semenanjung.
Katanya etika pakaian perlu mengambil kira konteks budaya Sarawak dan tidak dilaksanakan secara terlalu ketat.
“Kami tidak mengalu-alukan bentuk campur tangan Persekutuan seperti ini. Kami menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri kembali kepada amalan sebelum ini yang tidak pernah menimbulkan masalah,” katanya.
Ting berkata Sarawak sentiasa mengekalkan nilai keterangkuman, keharmonian, dan kehidupan majmuk.
Beliau berkata agensi persekutuan harus memegang prinsip sama supaya dasar mereka seiring dengan budaya tempatan.
Tambah beliau, rakyat Sarawak yang berurusan dengan agensi persekutuan wajar dilayan dengan adil, profesional dan hormat.
Katanya SUPP akan terus memantau keadaan dan berhubung dengan pihak berkaitan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam kekal berkesan serta mesra rakyat.
Oleh Connie Chieng