Sebastian Ting galak orang ramai derma darah secara berkala

Facebook
WhatsApp
SEBASTIAN Ting bersama penderma darah pada kempen “A Gift of Life” di Bintang Megamall, Miri.

MIRI: Orang ramai digalakkan menjadikan pendermaan darah sebagai amalan berkala bagi membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pesakit, terutama ketika berlaku kecemasan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting, berkata pendermaan darah merupakan satu bentuk sumbangan yang mudah dilakukan, namun mampu memberi impak besar kepada kehidupan pesakit, khususnya mereka yang berada dalam keadaan kritikal.

Beliau yang juga ADUN Piasau berkata, setiap penderma darah merupakan “wira tanpa nama” kerana darah yang didermakan boleh menjadi harapan dan membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukannya.

“Pendermaan darah tidak seharusnya hanya menjadi aktiviti kebajikan sekali-sekala. Lebih ramai individu yang layak perlu melihat pendermaan darah sebagai satu bentuk khidmat sosial yang boleh dilakukan secara berkala untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri kempen pendermaan darah “A Gift of Life” di Bintang Megamall, Miri, semalam.

Ting turut berkata penglibatan pihak korporat dan media penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap aktiviti kebajikan serta isu kesihatan awam.

SEBASTIAN Ting menyantuni penderma darah pada kempen “A Gift of Life” di Bintang Megamall, Miri.

Menurutnya, kerjasama antara pihak korporat, media, institusi perubatan dan masyarakat dapat memperluas impak inisiatif kebajikan kepada komuniti.

“Program pendermaan darah hari ini merupakan contoh yang baik apabila pihak korporat, media, institusi perubatan dan masyarakat bersama-sama memberikan sokongan dan kerjasama,” katanya.

Beliau turut menggalakkan golongan muda agar aktif menyertai aktiviti pendermaan darah dan program kemasyarakatan lain bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan mengambil berat terhadap masyarakat serta semangat berkhidmat kepada komuniti.

Dalam pada itu, Ting menasihatkan penderma kali pertama supaya tidak berasa takut kerana proses pendermaan darah hanya dilakukan selepas penderma memenuhi syarat kelayakan dan menjalani pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan.

Beliau berharap program seumpama itu dapat terus dianjurkan di peringkat komuniti bagi membudayakan pendermaan darah sebagai satu amalan sosial serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah secara berkala.

Oleh Connie Chieng