
SIBU: Ahli akademik, penyelidik, dan pendidik di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) digalakkan untuk menulis serta menerbitkan buku bagi menyebarluaskan ilmu dan penemuan mereka kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, pengalaman yang diperoleh dalam bilik kuliah, makmal, atau lapangan boleh menghasilkan penemuan berharga yang perlu dikongsi dengan dunia.
“Anda tidak akan tahu siapa yang mungkin anda inspirasikan atau perubahan apa yang boleh anda cetuskan hanya dengan berkongsi hasil kerja anda,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, pada Majlis Pelancaran Buku UTS di sini, semalam.
Menurut beliau, penulis dan pengarang berpengalaman juga disaran untuk berkolaborasi dengan penulis dari institusi atau organisasi penyelidikan lain bagi menghasilkan karya yang berimpak tinggi.
“Idea-idea hebat sering berkembang lebih besar apabila dikongsi. Dengan kerjasama yang kukuh, hasil penerbitan bukan sahaja memberi kesan di peringkat tempatan tetapi juga berpotensi mencipta impak global,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.
Dr Annuar turut mencadangkan agar UTS melalui penerbitnya mengambil langkah strategik dengan menjalin kerjasama bersama agensi negeri dan organisasi bagi menubuhkan kerusi penyelidikan.
“Ini akan meningkatkan hasil penyelidikan, menyumbang kepada bidang kajian kritikal, dan yang lebih penting, membantu meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam penciptaan ilmu dan inovasi,” tambahnya.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan UTS, beliau menekankan kepentingan penerbitan berkualiti tinggi yang mampu meningkatkan penarafan universiti dalam MyRA serta menjadi penanda aras kecemerlangan akademik.
“Penerbitan bukan sekadar mencetak buku, tetapi menerbitkan dengan tujuan. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik, malah turut menjadi rujukan penting kepada pembuat dasar,” katanya.
Selain itu, beliau turut menggalakkan UTS untuk memperluaskan jaringan kerjasama dengan universiti terkemuka dunia bagi memperkayakan ekosistem penyelidikan dan memperkukuh reputasi institusi di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Dr Khairuddin, UTS Publisher mencatat satu lagi pencapaian dengan pelancaran lapan judul buku baharu, sebahagian daripada 16 penerbitan sepanjang 2024.
Menurutnya, buku-buku ini merupakan hasil karya ahli akademik dan penyelidik UTS yang berbakat, mencerminkan dedikasi berterusan dalam menyebarkan ilmu dan kepakaran saintifik.
“Kepada para penulis, saya mengucapkan tahniah atas usaha dan ketekunan anda. Sumbangan ini bukan sahaja memperkayakan dunia akademik, malah memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Tarani Lanting