Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Sebab juruterbang guna bahasa Inggeris berkomunikasi
  • KOLUM

Sebab juruterbang guna bahasa Inggeris berkomunikasi

Utusan Sarawak 6 months ago
KOMUNIKASI… Keselarasan dan kesefahaman bahasa digunakan dalam operasi penerbangan.
• Gambar hiasan

DUNIA telah dihubungkan dengan pengangkutan udara lebih satu abad. Dalam tempoh ini, industri penerbangan berkem­bang dengan pesat hingga dapat memungkinkan berjuta-juta penumpang dan kargo dibawa setiap hari, sama ada untuk perjalanan domestik atau antara­bangsa.

Namun apabila merentas sempadan negara, pastinya akan ada masalah komunikasi timbul terutama jika bahasa ibunda juru­terbang dengan pengawal trafik udara di negara ketibaan adalah berbeza kerana setiap negara memiliki bahasa masing-masing.

Oleh itu, bagi mengelak masa­lah komunikasi ini berlaku, maka keperluan untuk memastikan ada keselarasan dan kesefaha­man bahasa yang digunakan demi keselamatan dalam operasi penerbangan adalah sangat mendesak.

PENGUNAAN bahasa Inggeris mesti digunakan sebagai bahasa standard penerbangan. • Gambar hiasan

Bagi mencapai maksud tersebut, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabang­sa (ICAO) menetapkan dalam Annex 10, Volume II bahawa bahasa Inggeris mesti digunakan sebagai bahasa standard dalam komunikasi penerbangan antara­bangsa.

Tujuan utama adalah untuk menghapuskan halangan bahasa yang boleh membawa kepada salah faham, terutamanya dalam situasi kecemasan seperti pesa­wat berhadapan dengan cuaca buruk atau masalah teknikal semasa penerbangan.

Kenapa mesti bahasa Inggeris digunakan? Hal ini kerana baha­sa Inggeris sudah mendominasi industri penerbangan ini sejak dari awal lagi.

Sebahagian besar inovasi awal dalam teknologi pener­bangan berasal dari negara yang berbahasa Inggeris seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Malah Wright ber­saudara sebagai pencipta kapal terbang juga berasal dari Amerika Syarikat.

Tambahan pula, baha­sa Inggeris memiliki kelebihan kerana turut digunakan secara meluas dalam industri lain yang berkaitan dengan penerbangan, seperti dalam bidang teknologi, sains dan perdagangan antara­bangsa.

Sebagai contoh, kebanyakan manual pesawat, laporan teknikal dan dokumentasi perundangan telah sedia ditulis dalam bahasa Inggeris.

Maka disebabkan ini, ia adalah lebih mudah mengintegrasikan terus ke dalam sektor penerbangan tanpa memerlukan pelabu­ran besar untuk menterjemahkan dokumen atau melatih tenaga kerja dalam bahasa lain.

Selain itu, bahasa Inggeris dipilih kerana sifatnya yang prak­tikal dan penyebarannya luas. Dengan lebih 1.5 bilion orang di seluruh dunia yang mampu ber­cakap atau memahami bahasa Inggeris menjadikan ia antara bahasa paling meluas digunakan.

Bahasa ini juga diajar sebagai bahasa kedua di kebanyakan negara, termasuk dalam sektor penerbangan. Keadaan ini men­jadikannya pilihan ideal untuk standard global tanpa memerlu­kan perubahan besar dalam sis­tem pendidikan sedia ada.

Semasa penerbangan, juruter­bang akan sentiasa berhubung dengan pihak menara kawalan trafik udara. Komunikasi yang berlaku antara mereka ini tidak sekadar melibatkan perbualan biasa menggunakan bahasa Ing­geris tetapi dirangka melalui fra­seologi standard yang ditetapkan oleh ICAO.

Sebagai contoh, jika menara kawalan memberikan arahan seperti ‘Flight 123, climb to flight level three zero zero,’ juruterbang perlu mengulangi arahan terse­but melalui proses ulang semula atau ‘readback,’ dengan berkata, ‘Climbing to flight level three zero zero, Flight 123.’

Prosedur ini dibuat bagi me- mastikan bahawa setiap arahan difahami dengan tepat, sekali gus mengurangkan risiko salah faham akibat gangguan luar seperti bunyi enjin atau gelombang radio asing.

Selain penetapan fraseologi, ICAO juga menetapkan sistem abjad fonetik bagi memastikan kejelasan komunikasi. Misalnya, ‘Alpha’ untuk A dan ‘Bravo’ untuk B, sementara nombor juga dise­but dengan cara khas seperti ‘Tree’ untuk tiga dan ‘Niner’ untuk sembilan.

Sistem ini direka untuk menge­lakkan kekeliruan, terutamanya dalam keadaan bunyi latar belakang yang mengganggu atau ketika juruterbang dan pengawal trafik udara berasal dari latar belakang bahasa yang berbeza. Contohnya seperti AB39 akan disebut ‘Alpha BravoTree Niner’.

Ada beberapa kemalangan udara yang telah berlaku apabila dikaji, didapati punca kemala- ngan adalah disebabkan masalah komunikasi antara juruterbang dan pengawal trafik udara.
Dalam kejadian yang berlaku pada 8 Februari 1989, pesawat Boeing 707 yang dikendalikan oleh Independent Air terhempas di Pico Alto, Azores, Portugal.

Tragedi ini berlaku kerana juruterbang menurunkan ketinggian pesawat ke paras 2,000 kaki sedangkan arahan pengawal trafik udara adalah untuk mengekalkan ketinggian 3,000 kaki.

Akibatnya kesemua 144 penumpang dan anak kapal ter­korban. Hal ini berlaku kerana kekeliruan dan kegagalan untuk saling memahami semasa berko­munikasi dan penggunaan frasa yang tidak standard oleh penga­wal trafik udara dan juruterbang.

Bagi memastikan komunika­si yang berkesan, juruterbang dan pengawal trafik udara akan menjalani latihan intensif yang merangkumi simulasi pelbagai situasi mencabar seperti cuaca buruk atau kecemasan teknikal.

Latihan ini juga menekankan keupayaan untuk bercakap dengan jelas, menggunakan nada suara yang sesuai dan mengekalkan ketenangan walaupun dalam tekanan.

Program ini sering menggu­nakan simulator penerbangan yang mencipta semula keadaan sebenar, memastikan juruterbang dapat berkomunikasi dengan baik dalam apa jua keadaan.

Selain itu, teknologi moden juga digunakan bagi meningkat­kan keberkesanan komunikasi dalam penerbangan. Contohnya ‘Controller-Pilot Data Link Com­munication’ (CPDLC) yang mem­bolehkan arahan disampaikan secara digital melalui mesej teks.

Sistem ini sangat berguna dalam kawasan udara yang sibuk kerana kesesakan dalam saluran radio dapat dikurangkan. Selain itu, ‘Aircraft Communica­tions Addressing and Reporting System’ (ACARS) membolehkan pesawat berkomunikasi dengan syarikat penerbangan atau pihak darat melalui mesej digital. Dengan ini komunikasi dengan semua pihak berkenaan akan lebih efisien.

Namun begitu, teknologi bukanlah penyelesaian mutlak. Latihan dan pemahaman men­dalam tentang komunikasi tetap menjadi aspek utama dalam memastikan keselamatan pener­bangan.

Walaupun teknologi dapat membantu, ia tidak boleh meng­gantikan kebolehan manusia untuk bertindak balas secara spontan dan adaptif terhadap situasi yang tidak dijangka.

Sekalipun dunia mempunyai pelbagai bahasa dan budaya, industri penerbangan telah menunjukkan bahawa perpaduan dalam satu bahasa menjadi asas kepada keselamatan dan kejayaan operasi penerbangan di peringkat global.

Dengan usaha berterusan oleh ICAO dan semua pihak yang terlibat dalam industri penerbangan, langit kekal menjadi ruang perjalanan yang selamat untuk semua.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) di Universiti Teknologi Malaysia dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Kecelaruan penggunaan bahasa
Next: Pengurusan Hutan Sarawak Zaman Brooke

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.