
Seorang pegawai balai cerap menggunakan teleskop untuk menentukan permulaan bulan puasa Ramadan berdasarkan penampakan anak bulan di Makassar, Sulawesi Selatan, pada 28 Februari 2025. Foto AFP
JAKARTA: Menteri Agama Indonesia, Nasaruddin Umar, menjelaskan alasan perbezaan penetapan awal Ramadan 1446 Hijrah atau 2025 antara Indonesia dan negara-negara jiran, lapor Kompas.
Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam menetapkan permulaan Ramadan 2025 pada hari ini, Ahad (2 Mac 2025), manakala Indonesia menetapkan awal puasa pada semalam iaitu Sabtu (1 Mac 2025).
“Kita sedikit berbeza dengan Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia yang menyatakan bahawa puasa mereka bermula pada 2 Mac 2025.
“Kenapa kita (Indonesia) lebih awal? Ini kerana terdapat perbezaan dalam ketinggian hilal (anak bulan) dan sudut elongasinya (pemisahan sudut antara matahari dengan planet),” jelas Nasaruddin pada sidang media.
Nasaruddin menerangkan bahawa walaupun Malaysia, Brunei dan Singapura berdekatan dengan Indonesia, sudut elongasi di negara-negara terbabit berbeza.
“Mereka belum dapat melihat hilal (anak bulan) di sana,” katanya.
Sementara itu, di Indonesia, hilal atau anak bulan kelihatan di wilayah Aceh.
Oleh itu, awal Ramadan di Indonesia ditetapkan pada Sabtu (1 Mac 2025).
“Jika ada individu yang menyaksikan anak bulan dan disumpah oleh mahkamah agama, maka kesaksian itu berlaku untuk seluruh Indonesia,” tambahnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa walaupun hilal (anak bulan) dilihat di Aceh, keputusan itu terpakai untuk seluruh negara termasuk wilayah paling timur Indonesia kerana Indonesia dianggap sebagai satu zon hukum yang sama.
Keputusan sidang isbat ini mengesahkan bahawa penetapan awal Ramadan oleh kerajaan adalah selari dengan yang ditetapkan oleh Pengurus Pusat Muhammadiyah.
Pada Rabu, Muhammadiyah menetapkan bahawa 1 Ramadan jatuh pada 1 Mac 2025.
Sebagai makluman, Muhammadiyah dan kerajaan menggunakan kaedah yang berbeza untuk menentukan permulaan Ramadan.
Muhammadiyah menggunakan kaedah hisab iaitu penentuan awal Ramadan berdasarkan perhitungan matematik dan astronomi.
Hisab adalah pengiraan kedudukan bulan secara matematik dan astronomi bagi menentukan awal bulan dalam kalendar Hijrah.
Terdapat beberapa rujukan atau kitab yang digunakan untuk kaedah hisab di Indonesia termasuk kaedah hisab kontemporari yang menggunakan rumus-rumus astronomi dalam kitab terbabit untuk menentukan awal bulan.
Sebaliknya, kerajaan menggunakan kaedah rukyah iaitu kaedah pemerhatian hilal (anak bulan) ketika matahari terbenam menjelang awal bulan dalam kalendar Hijrah.