KUCHING: Sarawak Energy Berhad terus memberikan sokongan yang diperlukan kepada pihak berkuasa untuk memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 nasional di Sarawak berjalan dengan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Lau Kim Swee berkata, kumpulan utiliti, Syarikat SESCO Berhad akan terus berhubung dengan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perlunya memastikan bekalan yang boleh dipercayai untuk penyimpanan sejuk vaksin di 60 kemudahan kesihatan di seluruh Sarawak.
Katanya, kebanyakan kemudahan dilengkapi dengan set penjana manakala tempat yang tidak mempunyai set penjana pasukan teknikal akan ditempatkan dalam tempoh 24 jam untuk memastikan penggunaan sokongan teknikal dan pemulihan cepat sekiranya berlaku gangguan bekalan.
“Penyelarasan sokongan teknikal di pelbagai wilayah akan dikendalikan oleh Pengurus Wilayah masing-masing.
“Sarawak Energy sentiasa peka dengan sokongan teknikal yang diperlukan untuk memastikan kelancaran pemvaksinan Covid-19 di samping memberikan penekanan untuk bersedia dan mengambil langkah proaktif untuk berkomunikasi dengan pihak berkuasa relevan dalam memastikan pasukan teknikal bersedia sedia dalam sebarang kemungkinan.
“Di samping itu, pasukan operasi juga secara proaktif bekerja dengan hospital swasta untuk mendapatkan sokongan teknikal yang serupa,” katanya.
Selain itu, persiapan awal yang proaktif pasukan iaitu termasuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan yang diperlukan untuk memastikan semua peralatan beroperasi dengan cekap dan memantau operasi sistem bekalan dengan teliti.
Dalam pada itu, semua kontraktor diminta untuk menghubungi Sarawak Energy sebelum memulakan kerja penggalian.
“Ini adalah untuk mengelakkan kerosakan kabel bawah tanah yang menyebabkan gangguan bekalan yang juga boleh mempengaruhi kemudahan kesihatan dan pusat penyimpanan berdekatan
“Kontraktor mesti memeriksa laluan kabel dan tidak menganggap lokasi atau kedalaman kabel bawah tanah sahaja. Langkah ini untuk memastikan keselamatan kontraktor dan pekerja mereka.
“Kita berharap kontraktor memberikan kerjasama untuk mengelakkan gangguan bekalan elektrik terutama pada waktu genting seperti ini,” katanya.
Katanya, kontraktor boleh menghubungi pusat panggilan 24 jam Sarawak Energy di 1300-88.3111 atau email kepada customercare@sarawakenergy.com untuk memaklumkan kerja-kerja berhampiran infrastruktur elektrik yang memerlukan nasihat teknikal Sarawak Energy.
Sarawak Energy akan terus mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPNS) dan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan kejayaan program imunisasi vaksin untuk kesejahteraan dan keselamatan penduduk di Sarawak.
Oleh Jeakqleyn Yacho