MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengalami kerugian RM4.32 juta apabila lima premis di Pusat Komersial Assar di Jalan Miri-Bypass di sini dikesan menjalankan kegiatan perlombongan mata wang bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik.
Premis tersebut diserbu dalam operasi bersepadu dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak (IPK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dibantu pihak SEB pada 16 dan 17 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, hasil serbuan itu, pihak merampas sebanyak 759 unit mesin ‘melombong’ dan peralatan digunakan bagi kegiatan tersebut.
“Premis yang telah kita serbu ini dipercayai menjalankan aktiviti ini lebih enam bulan dan anggaran kerugian dialami oleh pihak SEB dalam aktiviti ini sekitar RM4.32 juta.
“Ini merupakan serbuan dan rampasan terbesar di Sarawak membabitkan kegiatan mencuri bekalan elektrik bagi aktiviti perlombongan mata wang bitcoin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini, semalam.
Turut hadir, Pemangku Ketua BSJK IPD Miri Inspektor Razin Meslan.
Hakemal berkata, tiada tangkapan dibuat kerana kelima-lima premis tersebut tidak berpenghuni semasa serbuan dilakukan.
Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan termasuk mengenal pasti penglibatan pemilik-pemilik premis berkenaan di dalam kes ini.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan pihak Kementerian Utiliti Sarawak di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan penalti sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Oleh LIONG CHAI LING