KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan menjalankan ujian tahunan bagi stesen amaran banjir yang terletak di Lubok Antu, Engkilili dan SK Nanga Delok bermula hari ini sehingga 19 Januari ini.
Ujian tahunan tersebut adalah sebahagian daripada program tindakan kesiapsiagaan kecemasan yang dianjurkan oleh SEB untuk mencapai piawaian antarabangsa yang terbaik.
“Pada hari ini, stesen amaran banjir Lubok Antu dijangka akan melaksanakan ujian tersebut bermula 10.00 pagi tadi dengan mengaktifkan bunyi amaran yang seketika dan berterusan dalam tempoh satu sehingga dua minit setiap masa. Ujian tersebut dijangka tamat pada 3.00 petang.
“Sementara itu, jadual ujian bagi stesen amaran banjir Engkilili pula dijangka akan bermula juga pada 10.00 pagi dan tamat 3.00 petang dengan pengaktifan bunyi amaran yang sama seperti yang dilaksanakan oleh stesen amaran banjir Lubok Antu.
“Bagi stesen amaran banjir SK Nanga Delok, ujian akan bermula pada 12.00 tengah hari pada Khamis, 19 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bunyi amaran boleh didengari dalam jarak tiga kilometer dari semua stesen amaran banjir. Pengaktifan bunyi amaran kecemasan akan diaktifkan beberapa kali dan tiada jumlah tetap dan ia bergantung kepada proses kerja atau ujian.
Sehubungan itu, SEB menasihati komuniti-komuniti di sekitar Lubok Antu, Engkilili dan SK Nanga Delok agar tidak panik apabila mendengar bunyi amaran dalam sepanjang tempoh pelaksanaan ujian tersebut kerana ia adalah latihan rutin ujian.
Sekiranya mempunyai sebarang persoalan, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan SEB yang beroperasi secara 24 jam melalui talian 1300-88-3111.