
NEW YORK: Sean ‘Diddy’ Combs dijatuhi hukuman lebih empat tahun penjara pada Jumaat atas kesalahan berkaitan pelacuran, menamatkan prosiding mahkamah yang penuh dramatik selama sehari yang mana raja muzik itu memohon maaf dan merayu belas kasihan.
Pendakwa raya memohon hukuman 11 tahun penjara untuk Combs yang berusia 55 tahun, namun Hakim Daerah Arun Subramanian menjatuhkan hukuman 50 bulan penjara dan denda AS$500,000.
Peguam Combs memohon hakim menjatuhkan hukuman 14 bulan sahaja, yang secara efektif dianggap sebagai masa yang telah dijalani kerana Combs telah dipenjara di Brooklyn selama lebih setahun.
Combs dibebaskan oleh juri pada Julai atas tuduhan paling serius iaitu pemerdagangan seks dan pengubahan wang haram, tetapi disabitkan kesalahan bagi dua tuduhan membawa orang merentas negeri untuk tujuan pelacuran.
Pada Jumaat, hakim membenarkan pembelaan membentangkan hujah selama beberapa jam bagi pihak Combs, yang mana artis itu sendiri turut memberi ucapan penuh emosi.
Pada penghujungnya, Subramanian mengeluarkan kata-kata tajam kepada Combs dan penuh perasaan kepada mangsa-mangsa yang memberi keterangan semasa perbicaraan Combs.
“Kami telah mendengar anda,” kata hakim kepada saksi-saksi, yang menceritakan dengan terperinci penderaan berpanjangan, paksaan dan kesan buruk yang dilakukan oleh Combs.

“Bilangan orang yang anda sentuh adalah tidak terhitung,” katanya mengenai bekas pasangan Combs yang tidak hadir.
“Anda telah bangkit menentang kuasa. Itu bukan perkara mudah.”
Subramanian berkata beliau terikat dengan undang-undang untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan keseriusan “kesalahan berat” Combs yang katanya telah “merosakkan dua wanita tanpa dapat dipulihkan.”
“Mahkamah tidak yakin jika dibebaskan, kesalahan ini tidak akan berulang.”
Namun, Subramanian sendiri mengakui hukuman yang dijatuhkannya jauh lebih pendek daripada tempoh yang dicadangkan oleh pegawai percubaan iaitu 70 hingga 87 bulan.
Beliau memberitahu Combs bahawa beliau mengharapkan Combs “memanfaatkan peluang kedua ini sebaik mungkin.”

Dengan penuh air mata ketika berucap di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan, Combs berkata beliau “sungguh-sungguh menyesal” atas perbuatannya.
“Saya memohon belas kasihan, Yang Arif,” katanya. “Saya merayu belas kasihan Yang Arif.”
Combs memohon maaf kepada keluarganya serta mangsa-mangsanya, menyifatkan kelakuannya sebagai “menjijikkan, memalukan dan sakit.”
“Saya sakit. Sakit kerana dadah. Saya hilang kawalan. Saya perlukan bantuan tetapi tidak mendapatkannya.”
PENDERAAN DAN KAWALAN

Bekas teman wanita Combs, Casandra Ventura, mengemukakan surat kepada hakim memohon beliau mempertimbangkan “banyak nyawa yang telah diubah Sean Combs dengan penderaan dan kawalannya.”
Ventura, penyanyi berusia 39 tahun yang dikenali sebagai Cassie, menceritakan secara menyayat hati penderaan fizikal, emosi dan seksual yang dialaminya sepanjang hubungan lebih sedekad dengan Combs.
Ventura dan seorang wanita lain yang dikenali sebagai Jane berkata mereka dipaksa melakukan “freak offs” iaitu maraton seks dengan lelaki yang dibayar dan diarahkan oleh Combs serta kadang kala dirakam.
Ventura berkata beliau mengalami mimpi ngeri dan kilas balik “setiap hari secara tetap.”
Beliau memberitahu hakim bahawa dia dan keluarganya telah meninggalkan kawasan New York kerana takut akan pembalasan daripada Combs jika dia dibebaskan.
Sebagai reaksi terhadap hukuman itu, peguam Ventura, Douglas Wigdor memuji keberanian penyanyi itu.
“Walaupun tiada apa dapat menghapuskan trauma yang disebabkan oleh Combs, hukuman yang dijatuhkan hari ini mengiktiraf impak kesalahan serius yang dilakukannya.”
Pasukan pembelaan berikrar untuk merayu, memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa mereka merasakan hakim bertindak sebagai “juri ke-13” dan hukuman itu “tidak berperlembagaan.”
BAB SETERUSNYA
Pendakwa raya Christy Slavik, yang berhujah bagi hukuman 11 tahun, berkata Combs belum menerima tanggungjawab atas tindakannya.
“Rasa bersalahnya bersyarat. Seolah-olah dia fikir undang-undang tidak terpakai kepadanya,” kata Slavik.
Sementara itu, Nicole Westmoreland, salah seorang peguam Combs yang berhujah bagi hukuman yang jauh lebih ringan, menyifatkan Combs sebagai “inspirasi” kepada komuniti kulit hitam dan pejuang keadilan sosial.

Hakim mengiktiraf pencapaian itu serta kejayaan besar Combs dalam perniagaan hiburan, dan juga mengakui kesukaran yang akan dialami keluarganya jika Combs dipenjara lebih lama.
Semasa prosiding, enam anak dewasa Combs masing-masing memberi rayuan penuh emosi bagi pihak ayah mereka, dengan beberapa orang menyifatkan beliau sebagai “lelaki yang berubah.”
“Tolong, tolong beri peluang kepada keluarga kami untuk sembuh bersama,” kata salah seorang anak perempuannya, D’Lila Combs.
“Bukan sebagai tajuk utama, tetapi sebagai manusia.”
Subramanian menegaskan kepada Combs bahawa masa penjara bukanlah seumur hidup.
“Anda akan melalui ini,” kata hakim kepada Combs dan keluarganya.
“Ada sejuta orang yang menyayangi anda,” katanya kepada Combs. “Biarkan mereka mengangkat anda sekarang seperti mana anda telah mengangkat mereka selama bertahun-tahun.” – AFP