
SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Unit Bahagia Jaya muncul juara dalam kategori pertandingan betabuh sempena program kebudayaan anjuran Biro Kebudayaan SDNU Sibu di Permai Lake Garden Lakeside Foodcourt, semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan kumpulan itu membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM800, sementara tempat kedua dimenangi oleh SDNU Unit Boungenvilla yang menerima sijil, trofi dan wang tunai RM600.
Tempat ketiga pula diraih oleh SDNU Unit Ulu Salim yang membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM400, manakala tempat keempat menjadi milik SIDS Kawasan Tanjung Penasu dengan hadiah saguhati berupa sijil, trofi dan wang tunai RM50.
Sementara itu, dalam kategori pertandingan ngajat lelaki, SDNU Unit Bahagia Jaya terus mengungguli pertandingan dengan memenangi tempat pertama, membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM300.
Tempat kedua diraih oleh SDNU Unit Boungenvilla (sijil, trofi dan wang tunai RM250), tempat ketiga oleh SDNU Unit Rantau Panjai (sijil, trofi dan wang tunai RM200) dan tempat keempat oleh SDNU Unit Menyan yang menerima hadiah saguhati berupa sijil, trofi dan wang tunai RM50.
Bagi kategori perempuan, SDNU Unit Ulu Salim meraih tempat pertama dengan membawa pulang sijil, trofi dan wang tunai RM300.
Tempat kedua dimenangi oleh SIDS Kawasan Tanjung Penasu (sijil, trofi dan wang tunai RM250), tempat ketiga oleh SIDS Kawasan Seduan Jaya (sijil, trofi dan wang tunai RM200), manakala tempat keempat menjadi milik SIDS Unit Rantau Panjai yang menerima hadiah saguhati berupa sijil, trofi dan wang tunai RM50.
Sebanyak lapan pasukan yang melibatkan ahli SDNU Sibu dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Pengerusi Biro Kebudayaan SDNU Sibu, Anyi Angking dalam ucapan aluannya berkata, program ini bukan sahaja mengasah bakat dalam kalangan ahli, malah turut mengeratkan silaturahim antara generasi.
“Sebagai tanda untuk memulakan kerja ini supaya generasi muda mengenali permainan tradisional masyarakat kita, khususnya Iban.
“Program ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada anak muda, menandakan minat mereka terhadap warisan budaya,” katanya.
Oleh Tarani Lanting