
SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu menerusi Biro Pendidikan menyalurkan bantuan kewangan kepada seorang pelajar kurang upaya penglihatan, Steven Lias Sidi, yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Pengerusi SDNU Sibu, Chambai Lindong berkata bantuan itu adalah hasil kutipan ikhlas daripada ahli-ahli persatuan sebagai sokongan kepada Steven yang dianggap sebagai kes istimewa kerana ketabahan dan kegigihannya menempuh cabaran hidup.
“Walaupun SDNU Sibu tidak mempunyai dana pendidikan tetap, kami mengambil inisiatif ini kerana kisah Steven yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya amat menyentuh hati kami.
“Beliau membuktikan bahawa kecacatan bukan halangan untuk mencapai kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Steven, yang tamat pengajian Tingkatan Enam sesi 2023/2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Merah, berjaya diterima masuk ke program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam Kerja Sosial dengan Kepujian di Unimas dan dijadualkan mendaftar pada 27 September ini.
Pelajar itu kini tinggal bersama datuknya di Rumah Rengayan, Nanga Ruyak, Julau selepas ibunya meninggal dunia pada 2021 dan bapanya pula pada Jun tahun lalu.
Chambai turut merakam penghargaan kepada pihak sekolah dan pengetua SMK Sungai Merah yang berjaya mendidik Steven sehingga ke peringkat menara gading serta ahli keluarga yang sentiasa sabar membimbingnya.
“Sokongan moral dan kewangan daripada ahli-ahli SDNU adalah bukti semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti Dayak,” katanya.
Beliau turut memuji sumbangan wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, yang sama-sama membantu meringankan beban Steven.
Oleh Tarani Lanting