
KUCHING: Majlis Makan Malam Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) malam ini menekankan peranan masyarakat Dayak dalam memacu peluang ekonomi baharu negeri, sejajar dengan hala tuju transformasi ekonomi Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha kerajaan membangunkan ekonomi berasaskan tenaga hijau, teknologi baharu dan sumber semula jadi mampan memerlukan penglibatan semua kaum, termasuk masyarakat Dayak yang sudah lama menjadi tunjang pembangunan negeri.
Beliau berkata, Sarawak kini memberi tumpuan kepada sektor berimpak tinggi seperti tenaga boleh baharu, hidrogen, petrokimia hijau dan teknologi masa hadapan, yang mampu membuka ruang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk rakyat.
“Ekonomi hijau ini bukan sekadar retorik. Kita sudah mula, dan hasilnya akan memberi manfaat kepada generasi akan datang. Anak-anak Sarawak mesti menguasai teknologi baharu supaya kita bukan sekadar pengguna, tetapi peneraju,” katanya.
Premier menegaskan, SDNU mampu menjadi rakan strategik penting untuk menyampaikan maklumat pembangunan kepada masyarakat Dayak serta menggerakkan penyertaan mereka dalam program kerajaan.
“Kalau kita mahu Sarawak maju, semua komuniti mesti bergerak seiring. Masyarakat Dayak mempunyai peranan besar dalam pembinaan ekonomi baharu ini,” tambahnya
Beliau juga menggesa supaya pemilikan aset, penyertaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ekonomi digital dan pertanian moden terus dipertingkatkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan semata-mata.
Oleh Shikin Mahmud