SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sibu berjaya mengumpul dana sebanyak RM100,000 pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50, pada baru-baru ini.
Pengerusinya, Chambai Lindong berkata, kutipan dana yang tertinggi itu jelas menunjukkan bahawa SDNU relevan.
“Kami berjaya mengumpul dana daripada pelbagai penyumbang iaitu jumlah tertinggi yang pernah kami kumpulkan.
“Ini membuktikan kami telah berjaya memenangi hati orang ramai melalui program yang kami jalankan sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam penghargaan SDNU yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 di sini malam tadi.
Chambai berpuas hati dengan semua program yang dijalankan terutama Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 SDNU yang dirasmikan Presiden SDNU, Tan Sri William Mawan Ikom.
“Malah, dua kali Tan Sri (Mawan) memberitahu saya bahawa kami telah melakukan kerja yang hebat, bukan sahaja dalam penganjuran majlis makan malam tetapi juga dalam semua program yang dijalankan oleh SDNU Sibu sepanjang tahun,” katanya.
Beliau memuji semua ahli terutamanya jawatankuasa eksekutif, atas komitmen mereka untuk menganjurkan pelbagai program yang telah mengharumkan nama SDNU dan di hati masyarakat.
“Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan, sokongan, dan kerjasama daripada semua ahli.
“Justeru, kami memutuskan untuk menganjurkan majlis makan malam ini sebagai tanda terima kasih bukan sahaja kepada ahli jawatankuasa yang terlibat tetapi juga kepada media dan ramai lagi,” kata beliau.
Chambai berharap ahli SDNU Sibu akan terus mengekalkan prestasi cemerlang dan menganjurkan lebih banyak program pada tahun hadapan.
Oleh AKUN GIMAN