
KOTA SAMARAHAN: Program Santunan Desa KEMAS (SDK) merupakan antara usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat desa melalui pembangunan modal insan, ekonomi dan keusahawanan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, SDK adalah bukti kerajaan tidak pernah melupakan desa dalam arus pembangunan negara.
“Di sebalik megahnya pembangunan bandar, desa tetap menjadi nadi kekuatan bangsa,” katanya demikian ketika merasmikan program tersebut hari ini.
Program tiga hari yang bermula pada 26 September itu merupakan misi berwawasan KEMAS bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui kerjasama tiga bahagian utamanya iaitu Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pembangunan Komuniti dan Pendidikan Kemahiran bersama kepimpinan tempatan, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Matlamat utamanya adalah memperkukuh jaringan kerjasama dengan pemimpin akar umbi, memperluas manfaat program Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), meningkatkan penyertaan wanita dan belia serta mewujudkan kesinambungan pendidikan kanak-kanak di tabika dan taska.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu juga menggesa penduduk desa agar berdaya saing dan memanfaatkan peluang pembangunan yang disediakan.
“Kerajaan bertindak sebagai pemudah cara dan kejayaan pembangunan kampung bergantung kepada usaha dan kesungguhan penduduk itu sendiri,” tegasnya.
-UKAS