
KUCHING: Tebingan Kuching bakal menjadi tumpuan hujung minggu ini apabila Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia menganjurkan Sarawak Digital Mall (SDM) ‘Pesta Lokal’, bersempena penganugerahan Ikon SDM pertama Sarawak.
Festival dua hari yang berlangsung pada 23 hingga 24 Januari 2026 itu menandakan kemuncak kerjasama strategik selama satu setengah tahun antara SDEC dan TikTok Shop Malaysia dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sarawak agar menjadi pemain ekonomi digital yang berdaya saing hingga ke peringkat kebangsaan.
Menurut SDEC, inisiatif SDM bertujuan melengkapkan PMKS tempatan dengan kemahiran, alatan serta pendedahan e-dagang sosial, termasuk latihan berstruktur, penstriman langsung dan kolaborasi bersama pencipta kandungan, sekali gus membuka akses pasaran yang lebih luas kepada produk buatan Sarawak.
‘Pesta Lokal’ diraikan sebagai platform mempamerkan daya tahan, inovasi dan semangat keusahawanan Sarawak dengan menghimpunkan usahawan tempatan, pengalaman budaya serta kisah kejayaan perniagaan yang beralih daripada kaedah tradisional kepada perdagangan digital.
Di bawah inisiatif SDM yang diterajui SDEC dengan sokongan TikTok Shop Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), ratusan usahawan Sarawak kini berjaya menonjolkan produk beridentitikan lokal melalui penceritaan tulen di platform digital, sekali gus menarik pelanggan baharu dari seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Sudarnoto Osman berkata, ‘Pesta Lokal’ adalah simbol pengiktirafan terhadap usaha gigih usahawan tempatan sepanjang 18 bulan lalu.
“Ia membuktikan pencapaian mereka dalam memanfaatkan perdagangan digital moden sambil mengekalkan identiti unik Sarawak. Orang ramai dijemput hadir untuk merasai sendiri bagaimana produk tempatan dipasarkan secara kreatif di era digital,” katanya.
Festival yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 11.00 malam itu menampilkan pelbagai pengisian berimpak tinggi, antaranya Majlis Pengiktirafan dan Anugerah Ikon SDM, Anugerah Kecemerlangan Penjual Sarawak, jualan fizikal produk ‘Buatan Sarawak’, sesi penstriman langsung dari Tebingan Kuching serta program padanan pencipta yang menghubungkan pencipta kandungan Sarawak dengan penjual dari seluruh Malaysia.
Antara jenama tempatan dan Malaysia yang mengambil bahagian termasuk Beauboss, Tanamera, KKMY, Cokado Malaysia, Onsmo, NIMS, HYGR, Nomiya Skincare, Sinang Food dan Dkhaulah Kek Lapis.
Sementara itu, Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abd Aziz berkata pihaknya komited menyokong pembangunan ekosistem e-dagang mampan melalui konsep shoppertainment.
“Kerjasama ini membuka peluang besar kepada PMKS dan pencipta kandungan tempatan untuk menjangkau komuniti aktif di seluruh negara, khususnya dari wilayah berpotensi tinggi seperti Sarawak,” katanya.
Majlis pelancaran rasmi SDM ‘Pesta Lokal’ akan dirasmikan pada 23 Januari 2026, 7.30 malam oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, bagi pihak Premier Sarawak.
Acara ini terbuka kepada orang ramai dan mengalu-alukan kehadiran usahawan, pencipta kandungan serta pengguna yang ingin merasai sendiri suasana perdagangan digital yang dibentuk oleh bakat Sarawak.