
KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) terus komited memastikan setiap dasar, pelan dan inisiatif kerajaan negeri diterjemahkan kepada hasil nyata yang dapat dirasai oleh rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kejayaan SCS bergantung kepada kerjasama kukuh dan semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan serta berimpak tinggi.
Menurutnya, semua anggota perkhidmatan awam perlu bergerak sebagai satu pasukan yang padu demi memelihara serta memajukan kepentingan Sarawak.
“Semangat Aidilfitri harus menjadi pemangkin kepada Perkhidmatan Awam Sarawak untuk bergerak dengan lebih fokus dan berkesan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam dunia yang sentiasa berubah, penjawat awam tidak boleh selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu terus meningkatkan keupayaan, menambah baik proses kerja serta berani menerima perubahan.
Tegasnya, inilah masa yang tepat untuk seluruh jentera perkhidmatan awam bergerak ke hadapan dengan tenaga baharu, lebih tangkas serta berorientasikan hasil.
“Jadikan Syawal ini sebagai ruang muhasabah untuk memperbaharui azam dan melangkah ke hadapan dengan semangat ‘revisit, rethink and recharge’,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan warga SCS mengambil peluang sempena perayaan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan sosial dengan menziarahi sanak saudara serta rakan-rakan.
Pada masa sama, orang ramai yang pulang ke kampung halaman dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan memandu dengan selamat demi kesejahteraan semua.
Oleh Norman B