
KUALA LUMPUR: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) menerima surat tawaran indikatif daripada YTL Cement (Sarawak) Sdn Bhd bagi membeli 100 peratus kepentingan ekuiti dalam anak syarikat milik penuhnya, SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd pada harga RM113 juta.
YTL Cement (Sarawak) merupakan anak syarikat tidak langsung YTL Corporation Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SCIB berkata ia akan menerima tawaran itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk rundingan dan pemeteraian perjanjian jual beli saham muktamad.
“SCIB akan melantik penasihat profesional bagi mendapatkan khidmat nasihat undang-undang, kewangan dan strategi yang diperlukan,” katanya.
Ia berkata cadangan transaksi itu turut tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Pengerusi Eksekutif SCIB Datuk Chong Loong Men berkata tawaran tersebut memberi peluang kepada kumpulan untuk meneroka potensi nilai dalam unit perniagaan terasnya.
“Walaupun secara prinsipnya kami telah menerima tawaran itu, ia masih lagi di peringkat awal. Kami akan menilainya secara berhati-hati dengan mendapatkan pandangan daripada penasihat yang dilantik dan meneliti cadangan ini secara menyeluruh sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
-BERNAMA