
KUCHING: Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2025 terus membuktikan peranannya sebagai medan pertemuan antara dunia pendidikan, teknologi dan kerjaya masa depan dengan ribuan pengunjung pelbagai lapisan hadir untuk mendapatkan inspirasi dan peluang baharu.
Penganjuran tahun ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia pekerjaan dan penyelidikan, malah menyentuh terus aspirasi generasi muda yang bakal membentuk landskap masa depan negeri ini.
Bagi pelajar Tingkatan Lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, Norah dan Puteri Farah Ardelinna, penyertaan mereka dalam SCaT Fair tahun ini memberikan pengalaman yang berharga, khususnya dalam membantu merancang hala tuju selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Meskipun ini adalah penyertaan pertama mereka, kedua-duanya tampil yakin bahawa platform seperti ini memberi gambaran jelas tentang potensi kerjaya yang boleh diceburi.
“Kami datang untuk meneroka peluang yang ada dan mengenal pasti bidang pekerjaan yang sesuai untuk masa depan kami. Kami juga berpeluang mencuba pelbagai pameran interaktif yang menyeronokkan,” kata mereka sambil tersenyum.
“Bagi kami, pameran seperti ini sangat membantu, bukan saja untuk kami yang akan menduduki SPM, tetapi juga untuk generasi selepas kami.” ujar mereka lagi.

Di salah satu sudut zon Permainan STEM, Nick Carlson Nelyson dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pula sedang menerangkan spesimen haiwan dan bakteria sebenar kepada para pelajar dan pengunjung muda.
Pelajar pascasiswazah jurusan kimia ini bersama Pensyarahnya, Dr Rachel Marchella dan sahabatnya, Nur Afiqah Kamaludin dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) untuk memperkenalkan pelbagai kursus serta aplikasi dunia sebenar dalam bidang sains.
“Ramai pelajar sekolah yang datang menyangka sampel yang kami bawa ini palsu, tetapi apabila mereka tahu itu adalah sampel sebenar, mereka sangat teruja. Kami mahu mereka sedar bahawa bidang Sains sangat luas dan menarik,” jelas Nick.
Nick turut menekankan bahawa kemahiran asas seperti penggunaan mikroskop dan pengendalian bahan kimia adalah penting, selain pengetahuan mengenai keselamatan makmal yang menjadi aspek kritikal dalam pendidikan Sains.
“SCaT Fair adalah platform penting bukan saja untuk memperkenalkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tetapi juga untuk membuka peluang kerjaya. Ia secara langsung menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja yang berkualiti di Sarawak,” tambah Nick.

Sementara itu, reruai Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) menarik perhatian ramai melalui pameran mini bioreaktor yang menunjukkan bagaimana mikroalga boleh digunakan sebagai sumber tenaga hijau.
Trexia Kiana dan Fesmuela Kagong, wakil penyelidik dari SBC, berkongsi bahawa penyertaan mereka bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap potensi alga, khususnya dalam bidang penyelidikan dan inovasi teknologi.
“Kami mahu orang awam, khususnya pelajar, memahami bahawa mikroalga bukan sekadar sesuatu yang dipelajari secara teori, tetapi boleh dikomersialkan menjadi produk bernilai.
“Kami juga mahu mereka tahu bahawa bidang ini sangat teknikal dan menuntut kemahiran praktikal,” katanya.
Trexia dan Fesmuela turut berharap agar penyertaan mereka dapat mencetus minat dalam kalangan pelajar untuk meneroka bidang biologi dan tenaga mampan, serta memartabatkan produk asli Sarawak seperti beras bario dan lada hitam ke pasaran antarabangsa.
SCaT Fair 2025 bukan sekadar sebuah karnival kerjaya, tetapi merupakan medan sebenar untuk menyemai inspirasi dan menjana masa depan. Dari pelajar sekolah yang baru mahu mengenal hala tuju hidup, hinggalah ke penyelidik dan pendidik yang hadir memberi tunjuk ajar, acara ini menjadi simbol harapan Sarawak terhadap generasi berilmu, berdaya saing dan berwawasan.
Oleh Adele Rissa