
KOREA SELATAN: Majlis Biodiversiti Sarawak (SBC) memperkukuh langkah menjadikan Sarawak sebagai hab bioindustri terkemuka negara dengan memeterai perbincangan strategik bersama tiga pemain utama industri bioteknologi dan farmaseutikal di Korea Selatan, termasuk Incheon Free Economic Zone (IFEZ), Korean Ginseng Corporation (KGC) dan Sartorius Korea LLC.
Delegasi SBC yang diketuai Pengerusi Majlis merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel menamatkan lawatan teknikal kerja selama tiga hari, semalam.
Kerjasama dengan IFEZ memberi tumpuan kepada perkongsian pengetahuan mengenai perancangan, pembangunan dan pengurusan Songdo Bio Cluster yang kini menjadi hab utama penyelidikan dan pengeluaran biofarmaseutikal di Asia.

Sejak dua dekad lalu, kluster ini berjaya menarik lebih 140 syarikat bioteknologi tempatan dan antarabangsa termasuk Samsung Biologics, Lotte Biologics, SK Bioscience dan Celltrion.
Menurut Muhammad Abdullah, pendedahan dan pengalaman di Songdo amat penting bagi mempercepatkan pembangunan Taman Bioindustri Sarawak dan memperkukuh usaha mengkomersialkan produk berasaskan biodiversiti negeri.
Lawatan ke Korean Ginseng Corporation (KGC) pula membuka peluang kerjasama dalam pembangunan produk makanan berfungsi, nutraseutikal dan kosmeseutikal.
KGC yang ditubuhkan pada 1999 memiliki lebih 130 penyelidik, 288 paten (hak cipta) dan 16 varieti (spesies) ginseng berdaftar, serta diiktiraf sebagai peneraju global dalam sains dan inovasi produk ginseng.
Menurut SBC, potensi penggabungan herba dan tumbuhan unik Sarawak dengan kepakaran KGC dalam sains ginseng mampu melahirkan produk baharu yang berdaya saing di pasaran global.
Delegasi turut mengadakan perbincangan dengan Sartorius Korea LLC, syarikat terkemuka dalam penyelidikan dan pembangunan biofarmaseutikal yang melabur kira-kira A$SD600 juta di kemudahan mereka di Songdo.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama dalam pembangunan kapasiti penyelidikan, pengeluaran peralatan dan pembuatan produk biologi bernilai tinggi daripada biodiversiti Sarawak.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Pengerusi Majlis merangkap Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Adana Jed, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, wakil kementerian berkaitan, pakar teknikal serta Ketua Pegawai Eksekutif SBC, Dato Dr Yeo Tiong Chia.
Lawatan ini dilihat sebagai pemangkin penting bagi memperkukuh ekosistem bioindustri Sarawak, memacu komersialisasi produk biodiversiti dan menarik pelaburan asing ke negeri ini.
-UKAS