
KUCHING: Inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Sarawak Business Angel Sarawak (SBAN), hari ini telah menandatangani memorandum perjanjian dengan Malaysian Business Angel Sarawak (MBAN) untuk mengukuhkan ekosistem pelaburan mangkin di negeri ini.
SDEC melalui satu kenyataan hari ini berkata perkongsian itu bertujuan menghubungkan komuniti pelabur Sarawak dengan rangkaian nasional serta serantau, mengembangkan akses kepada aliran urusan kualiti dan berkongsi amalan terbaik dalam pelaburan mangkin.
Upacara penandatanganan yang diadakan bersempena dengan pelancaran rasmi SBAN telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat dengan SBAN diwakili oleh Pengerusi Datuk Patrick Liew, MBAN pula diwakili oleh Presidennya Peter Wee.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pembentukan SBAN menandakan satu langkah berani ke hadapan dalam membina komuniti para pelabur mangkin yang akan melabur bukan sahaja di dalam syarikat tetapi masyarakat serta kemungkinan lain.
“Kami mahu melihat pemula niaga tempatan kami disokong oleh para pelabur dari Sarawak. Kami mahu melihat inovasi kami melangkaui sempadan negeri kami.
“Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada SDEC atas kepimpinannya yang berterusan bagi membolehkan ekosistem ini dan kerjasama MBAN dengan kami dalam berkongsi pengalaman kebangsaan dan amalan terbaik anda,” katanya melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Ripin.
Karim juga menggesa pelabur mangkin yang berpotensi untuk mempertimbangkan bukan setakat pulangan pelaburan tetapi juga pulangan kesan.
“Sokongan anda akan memperkasakan usahawan luar bandar, wanita, inovator pribumi dan banyak lagi penggubah keadaan di seluruh negeri ini.
“Pemula niaga kami akan mampu berwawasan dengan berani, menyelesaikan masalah sebenar selain membina dengan tujuan. Anda kini mempunyai rangkaian sokongan yang semakin meningkat di belakang anda,” katanya.
Acara itu juga menampilkan perbincangan panel yang bertajuk ‘Membina Ekosistem Pelaburan Mangkin yang Mantap: Pelajaran dari MBAN dan Peluang untuk SBAN’, dengan anggota panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Norman Matthieu Vanhaecke, Liew dan Wee.
-Bernama