KUCHING: Festival Buku dan Penulis Sarawak (SBAF) 2024 merupakan wadah penting untuk memupuk budaya suka membaca dalam usaha mencapai sasaran menjadi negeri maju menjelang 2030 seperti dirangka dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, budaya suka membaca dan cinta akan ilmu merupakan salah satu kunci utama untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan, pemikir dan kreatif.
”Budaya suka membaca akan melahirkan masyarakat berilmu yang akan menyumbang kepada kemajuan negeri misalnya Premier (Sarawak) kita, (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg).
”Sifatnya yang suka membaca membolehkan beliau untuk memimpin Sarawak dalam melaksanakan inisiatif ekonomi hijau yang tidak hanya memberi manfaat kepada alam sekitar malah berjaya mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa termasuk para pelabur dari luar.
”Abang Johari bukan saintis tapi sifatnya yang suka membaca menjadi faktor utama beliau tahu berkenaan hidrogen hingga dapat membangunkan ekonomi hidrogen untuk memacu Pertumbuhan Kasar Dalam Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Festival SBAF 2024 di pusat beli-belah The Hills di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, festival itu juga penting sebagai instrumen dalam pembangunan negara bangsa sekali gus mencipta pelbagai peluang pekerjaan.
Jelasnya, festival sedemikian tidak hanya menjana perniagaan untuk penulis buku malah untuk industri berkaitan seperti pelancongan, hospitaliti dan pengangkutan.
”Apabila pengunjung datang ke pesta buku, mereka bukan sahaja mengambil ilmu, mereka menyokong keseluruhan rangkaian perniagaan dan perkhidmatan tempatan.
”Dalam usaha kita mencapai matlamat yang digariskan dalam PCDS 2030, kita perlu mengiktiraf nilai ekonomi berasaskan pengetahuan, yang mana industri kreatif memainkan peranan penting.
”Festival atau pameran seperti ini adalah bukti kepada visi itu, yang menggabungkan pertumbuhan ekonomi dengan pengayaan budaya kerana setiap buku yang ditulis merupakan rekod masyarakat yang pelbagai dan penuh sejarah yang menjadikan Sarawak unik,” ujarnya lagi.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang Anugerah Penulis dan Penerbit Sarawak 2024 bagi mengiktiraf penulis dan penerbit yang paling aktif dan banyak menyerahkan bahan terbitan kepada Pustaka Negeri Sarawak di bawah keperluan Seksyen 15, Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak, 1999.
Pengiktirafan itu menyaksikan Flora Tan Phek Yee menerima Anugerah Penulis Kategori Individu dengan tujuh buah penerbitan, Politeknik Kuching meraih Anugerah Penerbit Kategori Agensi menerusi 87 penerbitan.
Sementara itu, Anugerah Penerbit Kategori Persatuan atau NGO diberikan kepada Board of Christian Literature Sarawak dengan 120 terbitan manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart Sibu berjaya menerima Anugerah Penerbit kategori Penerbitan Sekolah dengan 22 penerbitan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.
Oleh Rynna Sha’erra