PESERTA Sarawak Young Designers merakam gambar di bilik Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam Majlis Kunjungan Hormat dari Sarawak Young Designers bertempat di Pejabat Timbalan Premier Dewan Undangan Negeri Sarawak. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Program Latihan Perabot Pereka Muda Sarawak (Sayd’Signers) mampu menjadi platform dalam mempromosikan produk warisan Sarawak, bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program tersebut diwujudkan oleh Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) sejak 2018 bagi melatih graduan dalam proses reka bentuk dan pemikiran reka bentuk perabot.
Katanya, menerusi kolaborasi bersama dengan Institusi Teknologi Bandung (ITB) Indonesia itu juga, program tersebut dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran serta kemahiran graduan dalam menyokong pertumbuhan industri perabot di Sarawak.
“Kesemua produk yang dihasilkan oleh 15 pelajar Sayd’Signers bagi kumpulan Kedua dan Ketiga ini akan dikomersialkan dan beberapa syarikat telah bersetuju untuk mengeluarkan produk mereka bedasarkan reka bentuk yang dihasilkan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada rombongan Institusi Teknologi Bandung (ITB) Indonesia di pejabatnya di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.
Rombongan kunjungan hormat tersebut diketuai oleh Pengurus Pasukan Pengurusan ITB Sayd’Signers di ITB, Dr Imam Santosa bersama 15 pelajar Sayd’Signers.
Menurut Awang Tengah, reka bentuk yang dihasilkan bukan hanya bergantung kepada penggunaan sumber kayu tempatan, namun ia juga menerapkan penggunaan sumber hutan (planted forest) seperti akasia dan sebagainya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa produk yang dihasilkan pelajar majoriti daripada anak tempatan Sarawak itu dapat menambat hati pelanggan dengan corak yang kreatif selain memenuhi citarasa terkini.
“Inilah tujuan utama kita di samping memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berbakat, ia juga sebagai usaha mengetengahkan produk-produk tempatan ke peringkat pasaran antarabangsa.
“Sehubungan itu, kita juga bercadang untuk mempromosikan reka bentuk produk tersebut dengan mengikuti pelbagai pameran perabot di peringkat antarabangsa seperti di Milan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu kata Awang Tengah, menerusi program itu juga, ia dapat menjadi daya tarikan baharu kepada industri perabot di Sarawak berdasarkan keunikan dari segi reka bentuk yang digabungkan dalam hasil seni berkenaan.
Ia susulan dengan kepelbagaian kaum serta keunikan yang ada di Sarawak dari segi ukiran-ukiran melibatkan ukiran tradisi daripada kaum Orang Ulu, Melanau, Iban dan sebagainya akan menjadi kekuatan dalam sektor reka bentuk perabot di negeri ini, katanya.
Untuk rekod, sejak diwujudkan pada 2018, terdapat lima kumpulan pengambilan dengan 32 graduan baru telah dilatih menerusi program ini sementara sesi pendaftaran dan taklimat Kumpulan Kelima telah dibuat pada 6 Januari 2022.
Oleh SYAMIMI HUSNA