
SIBU: Sayap Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada 82 kepada 99, yang kini menunggu kelulusan di peringkat Persekutuan.
Ketua Pemuda PRS, Christopher Gira Sambang berkata, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Speaker DUN Sarawak, Idris Buang berhubung perkara itu mencerminkan realiti sebenar negeri ini yang luas serta mempunyai keperluan pembangunan luar bandar yang semakin meningkat.
Menurut beliau, keluasan geografi Sarawak dan pertambahan penduduk memerlukan struktur perwakilan yang lebih seimbang bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya di kawasan pedalaman.
“Sebagai contoh, kawasan DUN Tamin meliputi kawasan yang sangat luas dengan banyak rumah panjang dan penempatan luar bandar yang terletak jauh antara satu sama lain.
“Antara cabaran sebenar termasuk keperluan menaik taraf akses jalan raya, penyediaan bekalan air bersih dan infrastruktur asas, selain jarak perjalanan yang jauh untuk wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan secara berkesan kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan sedemikian, pewujudan kerusi tambahan bukanlah satu kemewahan politik, sebaliknya satu keperluan praktikal bagi memastikan komuniti luar bandar tidak terpinggir disebabkan keluasan kawasan yang diwakili.
Terdahulu, usul berkaitan perkara itu telah diluluskan di peringkat DUN Sarawak dan kini menunggu kelulusan di Parlimen Malaysia.
Gira berkata, sekiranya kajian yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dibuat secara menyeluruh dan profesional, tiada alasan munasabah untuk menangguhkan kelulusan cadangan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen, khususnya dari Sarawak, supaya meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan politik serta memberi kelulusan sewajarnya demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang.
“Penambahan kerusi ini adalah pelarasan struktur, bukan tuntutan berlebihan. Sarawak memerlukan kerangka perwakilan yang mencerminkan realiti geografi dan demografinya.
“Sebagai generasi muda dalam kepimpinan, Pemuda PRS kekal tegas mempertahankan perwakilan yang adil untuk rakyat Sarawak. Ini bukan sekadar soal angka, tetapi memastikan setiap suara di pedalaman didengari,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin.
Oleh Tarani Lanting