
Barisan Naib Presiden PBB yang baharu… (dari kiri) Len Talif, Julaihi, Ibrahim Baki dan Dr Annuar.
PETRA JAYA: “Saya bertanding bukan untuk merebut jawatan menteri, sebaliknya untuk berkhidmat bersama kepimpinan PBB.”
Itu kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baharu Datuk Len Talif Salleh.
Malah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar itu menepis dakwaan bahawa pencalonannya dalam pemilihan Naib Presiden PBB menjadi punca kepada kekalahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Saya perlu menjelaskan perkara ini. Ada yang mengatakan kalau saya tidak bertanding, Datuk Karim mungkin menang kerana hanya beza 18 undi.
“Hakikatnya, saya bertanding bukan untuk merebut jawatan menteri, sebaliknya untuk berkhidmat bersama kepimpinan PBB,” katanya dalam sidang media di Wisma Sumber Alam di sini, hari ini.
Enam calon bersaing untuk merebut empat jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini.
Len Talif berjaya mendapat slot keempat, diketuai Dato Ibrahim Baki, Dato Sri Julaihi Narawi dan Datuk Dr Annuar Rapaee. Abdul Karim dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, gagal mempertahankan jawatan masing-masing.
Len Talif bagaimanapun berkata tidak timbul soal mereka yang kecundang dalam pemilihan akan menjejaskan kedudukan mereka dalam Kabinet dan ia adalah prerogatif Premier Sarawak.
Katanya, ketika pemilihan 2018, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden tetapi terus kekal sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsmen).
“Keputusan pemilihan mungkin boleh menjadi panduan, tetapi ia tidak mengikat Premier Sarawak.
“Kabinet Sarawak terdiri daripada empat komponen parti dan pelantikan dalam kerajaan adalah berdasarkan keperluan serta kebijaksanaan beliau dalam menentukan barisan terbaik,” katanya.
Sementara itu, Len Talif menjelaskan pemilihan Naib Presiden kali ini dilihat sebagai sebahagian proses peralihan kepimpinan dalam PBB, dengan tumpuan diberikan kepada penyediaan barisan pemimpin muda untuk masa depan.
“Saya sudah dalam lingkungan 70an, tetapi saya masih boleh memainkan peranan dalam membimbing pemimpin-pemimpin muda ke hadapan.
“Ini adalah fasa transisi yang kita perlu terima demi kelangsungan kepimpinan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal