
JAWAB SOALAN… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Ke-16 PBB Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
PETRA JAYA: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, bersedia melepaskan jawatannya dalam kabinet negeri.
Ini susulan kegagalannya mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Bumiputera, yang mungkin memberi kesan terhadap kedudukannya.
Menurut Abdul Karim, pelantikan dalam kabinet adalah hak prerogatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau akur dengan sebarang keputusan yang dibuat demi kepentingan parti dan kerajaan negeri.
“Saya melihat pelantikan kabinet sebagai hak prerogatif Premier Sarawak. Sama ada keputusan ini akan memberi kesan terhadap kedudukan saya dalam kabinet, saya perlu berbincang dengan beliau.
“Jika perlu dilakukan rombakan, saya bersedia untuk melepaskan jawatan kerana tiada individu yang lebih besar daripada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abdul Karim bagaimanapun menghormati keputusan perwakilan dalam undian untuk jawatan Naib Presiden PBB (sayap Bumiputera), sambil menyifatkan proses tersebut sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang perlu diterima dengan hati terbuka.
“Sebelum pertandingan lagi, saya sudah menyatakan bahawa ini adalah pertandingan dalam suasana kekeluargaan dan persahabatan.
“Keputusan dibuat oleh para perwakilan dan saya menghormati keputusan tersebut.
“Saya tidak berasa kecewa dengan keputusan tersebut, malah gembira kerana proses pemilihan berjalan dengan lancar,” katanya.
Namun, beliau tetap akan melakukan penilaian kendiri bagi memahami faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan pemilihan kali ini.
Apabila ditanya mengenai perancangannya dalam politik, termasuk kemungkinan bertanding semula dalam konvensyen PBB akan datang, Abdul Karim berkata perkara itu masih terlalu awal untuk ditentukan.
“Konvensyen seterusnya akan berlangsung dalam tiga atau empat tahun lagi. Kita akan lihat bagaimana keadaannya ketika itu, sama ada saya masih berada dalam parti atau sudah bersara daripada politik,” katanya.
Mengenai kemungkinan dilantik ke jawatan tertentu dalam parti, Abdul Karim menjelaskan bahawa perkara itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan Abang Johari yang juga Presiden PBB.
“Kita ada jawatan yang dilantik dalam parti, tetapi saya percaya tiada jawatan baharu yang akan diwujudkan selain daripada yang telah termaktub dalam perlembagaan parti. Jika ada, mesti ada usul untuk meminda perlembagaan,” katanya.
Terdahulu, Abdul Karim yang meraih 669 undi dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi mendapat 546 undi, gagal mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Naib Presiden PBB bagi sayap Bumiputera.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berjaya meraih undi tertinggi bagi jawatan sama iaitu 910 undi.
Dua lagi penyandang berjaya mempertahankan jawatan sama iaitu Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dengan undi kedua tertinggi iaitu 900 undi dan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, meraih 788 undi.
Selain itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif berjaya meraih slot keempat bagi jawatan tersebut dengan 687 undi.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PBB, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah pada hari terakhir Perhimpunan Agung ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pagi tadi.
Oleh Mohd Neenatul Aizal