SEBUYAU: “Saya masih trauma, tidak dapat tidur mengenangkan kejadian itu,” kata Juragan Feri Batang Lupar, Kurmi Denan.
Menurut beliau, tragedi yang mengorbankan sembilan nyawa ini masih terngiang di fikirannya apatah lagi sebagai saksi pertama kejadian tersebut.
“Pada kejadian berlaku, saya hendak ‘sign in’ ke arah pangkalan tersebut. Saya (feri) ketika itu berada kira-kira 30 hingga 40 meter dari luar tanjakan pangkalan.
“Mula-mula saya lihat dari tempat juragan ini, tiada kereta di pangkalan pada masa itu. Jadi saya hanya fokus bawa feri untuk ‘sign in’.
“Tiba-tiba, saya melihat terdapat sebuah kereta iaitu pikap tersebut, meluru terus ke pangkalan, dan terus turun dari atas ke bawah tanjakan langsung tidak brek,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
Beliau yang menyaksikan kejadian itu turut memanggil dan memaklumkan rakan sekerja beliau yang turut berada di tempat juragan pada ketika itu, mengenai insiden mengejutkan tersebut.
Jelasnya lagi, sebaik sahaja melihat kejadian itu, beliau terus bertindak membawa feri ke arah lokasi terbabit untuk mencuba memberikan bantuan.
“Saya tidak turunkan penumpang (dalam feri pada ketika itu) dahulu, saya bawa sekali penumpang ke arah kereta tersebut, kerana pada masa itu ia masih timbul.
“Saya menurunkan tanjakan feri (ramp) untuk cuba menolak naik semula kereta tersebut ke tepi, namun ia sudah mulai tenggelam,” jelasnya lagi.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan rasa kesal atas tindakan warga laman media sosial yang mengecam dan menyalahkan pihak mereka (feri) atas kejadian tersebut.
“Saya sedih kerana ramai orang di media sosial menyalahkan kami, menuduh kami menyuruh kereta tersebut mengundur semula kerana feri dah penuh, perkara itu tidak terjadi sama sekali.
“Saya orang pertama yang menyaksikan kejadian tersebut, saya trauma dan masih teringat jelas keadaan kereta tersebut terjatuh dan saat-saat kereta itu mulai tenggelam,” ujarnya dengan sayu.
Dalam hal berkaitan, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James
Jemut Masing yang turun melawat tempat kejadian kelmarin meminta rakyat untuk tidak menuding jari ke arah mana-mana pihak atas kejadian ini.
Beliau turut me- negaskan bahawa ke- semua penumpang harus mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika menggunakan perkhidmatan feri bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP