
LONDON: Ketua pasukan Liverpool, Virgil van Dijk mendedahkan terdapat perkembangan mengenai perbincangan perjanjian kontrak baharu dalam usaha untuk memastikan dia kekal di Anfield.
Kontrak pemain antarabangsa Belanda berusia 33 tahun itu bersama rakan sepasukan di Liverpool, Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold akan tamat pada penghujung musim ini.
Ketika ditanya mengenai perbincangan kontraknya dengan kelab itu selepas kekalahan 3-2 di tangan Fulham dalam perlawanan Liga Perdana, kelmarin, Van Dijk memaklumkan: “Ada perkembangan”.
Apabila ditanya apa maksud perkembangan itu, dia berkata: “Ia adalah perbincangan dalaman dan kita akan lihat apa yang berlaku.
“Saya sayangkan kelab ini, saya sayangkan peminat dan mereka berada di sana (di Fulham) kerana kami. Kami mahu membalas sokongan mereka.”
Liverpool akan berdepan West Ham di Anfield, Ahad ini dengan mereka ketika ini memiliki kelebihan 11 mata di depan Arsenal yang berada di tempat kedua dan semakin hampir untuk meraih gelaran kedua dalam enam musim.
Namun, masa depan tiga pemain utama, Van Dijk, Salah, dan Alexander-Arnold menjadi perbincangan hangat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Ia termasuk spekulasi mengenai kemungkinan Alexander-Arnold menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid yang mencetuskan reaksi hebat dari sebahagian besar penyokong.
Van Dijk bagaimanapun menegaskan bahawa fokus utama pasukannya ketika ini adalah untuk memenangi liga.
“Ia adalah mentaliti yang jelas dalam skuad kami, bahawa kerja belum selesai dan sekarang kami hanya perlu pulih secara fizikal dan mental serta memberi tumpuan untuk perlawanan menentang West Ham di tempat sendiri,” katanya. – AFP